'Shuhaimi seperti abang saya'

in Nasional by


SHAH ALAM – Pemergian Adun Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei merupakan kehilangan besar buat rakyat Selangor kerana arwah merupakan orang lama dalam pentadbiran dan politik negeri.


Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, Adun Sungai Kandis itu banyak berjasa kepada rakyat Selangor sejak arwah mula melibatkan diri dalam arena politik pada tahun 1998.


Malah, beliau juga mengakui kehilangan seorang rakan seperjuangan yang dianggap sebagai ‘abang’ selama ini.


“Kalau dikira sejak dari 1998, sudah 20 tahun beliau terlibat dalam politik, 10 tahun jadi Adun Sungai Kandis. Sudah pasti beliau disayangi dan banyak jasa beliau kepada rakyat di sana.


“Beliau juga menjadi Setiausaha Menteri Besar Selangor, jadi jasanya merebak kepada rakyat negeri ini. Saya kenal beliau sejak saya berumur 19 tahun. Ramai kawan-kawan tahu saya rapat dengan arwah malah beliau juga dianggap sebagai salah satu ‘abang’ dengan saya,” katanya ketika ditemui di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.


Meskipun rapat dengan arwah, Amirudin hanya mengetahui penyakit arwah agak serius selepas Shuhaimi menghantar surat gagal hadir upacara angkat sumpah, baru-baru ini.


“Beliau tak pernah cerita sakitnya, kami tak tahu apa penyakit sebenar. Selepas baca surat itu, baru saya periksa secara teliti laporan kesihatan beliau dan tahu masalah, penyakit sebenarnya.


“Saya doakan agar rohnya dicucuri rahmat. Kepada mereka yang ada sebarang isu dengan arwah, harap maafkan beliau dan kita juga akan cuba ambil perhatian kepada keluarganya.


“Kita akan menjaga dari segi kebajikan mereka agar dapat pastikan mereka tidak tersisih sesuai dengan jasa dan bakti beliau selama ini,” ujarnya.


Tambahnya, beliau pasti merasai kehilangan dengan pemergian arwah kerana Shuhaimi berjuang dan mendaki arena politik bersamanya malah pernah merasai jatuh bangun dalam dunia politik.


“Kehilangan beliau selepas kemenangan kita apatah lagi selepas saya diangkat menjadi menteri besar, ia satu perkara yang saya rasa sangat sedih,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]