Tindakan Mas Ermieyati dianggap virus dalam Umno

in Politik by


SHAH ALAM – Keputusan bekas Ketua Puteri Umno, Mas Ermieyati Samsudin meninggalkan parti dianggap sebagai virus sebenar dalam Umno.


Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, walaupun tiada peruntukan undang-undang menghalang tindakan Mas Ermieyati, sebagai ahli parlimen yang menang atas tiket BN, beliau perlu mempunyai obligasi moral terhadap pilihan dan kepercayaan pengundi serta sentiasa berpegang kepada amanah dan mandat yang diberikan rakyat.


Kecewa dengan tindakan Mas Ermieyati, Azalina berkata, Ahli Perlimen Masjid Tanah itu perlu membantu Umno ke arah yang lebih baik dan bukannya keluar parti menjadi wakil rakyat bebas.


“Beliau seharusnya bersama-sama membantu parti menyumbang idea dan pengalaman ke arah menjadikan Umno yang lebih baik bukannya bertindak meninggalkan parti.


“Mereka yang meninggalkan parti perlu mengambil tanggungjawab tersebut bukannya memberi alasan atau menuding jari kepada orang lain. Mereka ahli politik yang tidak berprinsip adalah virus sebenar dalam parti,” katanya.


[ARTIKEL BERKAITAN: Mas Ermieyati keluar Umno]


Semalam, Mas Ermieyati mengumumkan keluar daripada Umno dan menjadi ahli parlimen bebas.


Tindakan Mas Ermieyati itu juga menyaksikan kerusi BN berkurang kepada 51 kerusi selepas Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Noor Azmi Ghazali turut mengumumkan keluar parti sebelum ini.


Mengulas lanjut, kata Mas Ermieyati, beliau selepas ini mahu menjadi penegur dan penasihat kepada pihak kerajaan tanpa terikat dengan etika ahli parlimen yang mewakili sesebuah parti.


Beliau menegaskan tindakan keluar parti itu juga membolehkan memberi fokus sepenuhnya sebagai ahli parlimen, berbahas serta berhujah di Parlimen demi menjaga hal ehwal kebajikan dan pembangunan yang sewajarnya untuk dinikmati penduduk di kawasannya itu.


Rentetan tindakan Mas Ermieyati, Puteri Umno turut sama menyatakan kekesalan sambil menjelaskan tidak wajar sekiranya keputusan Pemilihan Umno menjadi antara penyebab Mas Ermieyati mengambil keputusan untuk berundur.


Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, sebolehnya Puteri Umno mahu beliau kekal dan menggunakan pengalaman yang ada untuk bersama-sama membawa perjuangan parti.


Ketua Wanita Umno, Datuk Dr Noraini Ahmad juga meluahkan kekecewaannya sambil mempersoalkan kata-kata keramat untuk bersama parti yang pernah dilontarkan oleh Mas Ermieyati sebelum ini.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]