TMJ ucap tahniah kepada Syed Saddiq, Maszlee

in Nasional by


JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mengucapkan tahniah kepada dua Ahli Parlimen dari Johor yang dilantik selaku menteri dalam Kabinet.


Dua wakil rakyat tersebut adalah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan serta Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik selaku Menteri Pendidikan.


Tunku Ismail berkata, pelantikan Syed Saddiq dan Maszlee disifatkan sebagai fenomena baharu dalam legasi kepimpinan orang muda untuk menjadi peneraju utama agenda pembangunan negara.


“Saya mengucapkan tahniah atas pelantikan YB Syed Saddiq Abdul Rahman selaku Menteri Belia dan Sukan yang baharu. Juga kepada YB Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia yang mana kedua-duanya berasal dari negeri Johor.


“Ia pastinya satu lagi fenomena baharu dalam legasi kepimpinan orang muda untuk menjadi peneraju utama agenda pembangunan negara. Semoga dengan pelantikan tersebut dapat membantu sistem pentadbiran negara serta turut membawa lebih manfaat dalam pendidikan dan bidang sukan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan seperti dipetik dari laman Facebook Johor Southern Tigers di sini, hari ini.


Tunku Ismail turut mengucapkan syabas kepada pemimpin tertinggi kerajaan kerana memilih pemimpin-pemimpin berkaliber yang mampu membawa pembaharuan dan juga pembangunan yang lebih tinggi untuk negara ini.


“Selamat maju jaya saya ucapkan kepada semua,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]