Tuhan, tuah tolong kami – Akinfeev

in Sukan by


PENJAGA gol Rusia, Igor Akinfeev tidak menganggap dirinya sebagai wira meskipun aksi cemerlangnya berjaya membantu pasukannya mengejutkan Sepanyol untuk mara ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 1970.


Akinfeev layak dianggap wira buat Rusia selepas menyelamatkan dua sepakan penalti untuk mencipta sensasi menyingkirkan Sepanyol daripada saingan Piala Dunia.


Sepakan Koke dan Iago Aspas dinafikan oleh penjaga gol Russia itu walaupun keseluruhan permainan menyaksikan juara 2010, Sepanyol, mendominasi perlawanan tetapi gagal mencipta peluang terbuka, menyebabkan La Roja tewas 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.


“Pada separuh masa kedua, kami cuba bertahan. Kami mengharapkan penalti dan itulah yang terjadi.


“Terima kasih Tuhan, kami cukup bertuah,” katanya.


Dianugerahkan dengan trofi penaja sebagai pemain terbaik perlawanan, Akinfeev mengakui kehadiran seramai 78,000 penyokong di stadium itu turut menjadi motivasi kepada mereka.


“Saya bukan pemain terbaik perlawanan. Pemain terbaik perlawanan adalah pasukan ini dan juga penyokong.


“Kami mengharungi kempen Piala Dunia yang menakjubkan,” ujarnya.


Nada sama turut diluahkan rakan sepasukannya, Artem Dzyuba yang berterima kasih kepada Tuhan, tuah dan penyokong susulan kemenangan itu.


“Selalunya Tuhan sentiasa mengecewakan kami, tapi tidak kali ini. Dia berikan kami kejayaan yang membuatkan seluruh negara Rusia bangga dan bergembira.


“Walaupun kami terpaksa bertahan dengan menanggung kepenatan dan kekejangan tapi kesudahannya ia berbaloi,” ujarnya yang menjaringkan gol penyamaan 1-1 sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan penalti.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]