'Ubah Umno dengan SOP sendiri'

in Politik by


PADANG SERAI – Umno Bahagian Padang Serai akan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) tersendiri dalam usaha mengubah parti itu.


Ketua Umno Bahagiannya, Datuk Asmadi Abu Talib berkata dahulu setiap pemimpin parti di seluruh negara terikat dengan SOP Umno pusat dalam mentadbir.


Menurutnya, selepas Umno menjadi pembangkang kelonggaran setiap pemimpin untuk menggunakan SOP sendiri lebih berkesan untuk mendekati pengundi di kawasan masing-masing.


“Dulu Umno-BN nak buat apa pun kena ikut SOP yang telah ditetapkan pusat, tetapi selepas kalah kita ada kelonggaran untuk wujudkan SOP sendiri.


“Namun SOP masih tidak tersasar daripada prinsip Umno sendiri yang memperjuangkan hak orang Melayu.


“Yang penting Umno kena berubah dan diterima rakyat semula,” katanya kepada Sinar Harian.


Katanya, semua pemimpin dan ahli Umno juga perlu bermuhasabah diri setelah kalah pada PRU14 lalu.


“Ini juga penting, semua kena muhasabah supaya kita dapat berubah menjadi parti terus relevan untuk rakyat.


“Kita kena sedar bukan semua yang kita buat itu betul, ada juga cacat cela tapi selepas ini kita perlu buat yang terbaik tinggalkan yang tidak benar,” katanya.


Beliau berkata idea dan tunjuk ajar daripada pemimpin terdahulu dalam parti juga perlu diambil kira walaupun parti inginkan perubahan.


“Kita masih perlu idea atau pendapat orang lama, walaupun sekarang semua mahukan parti berubah.


“Pendapat orang penting untuk terus memantapkan parti dan mengambil iktibar dalam pelbagai aspek termasuk kekalahan kerajaan BN pada PRU lalu,” katanya.


Terdahulu, pada pemilihan Ketua Umno Bahagian Padang Serai 30 Jun lalu, Asmadi sekali lagi berjaya mempertahankan jawatan disandangnya itu sejak sepenggal lalu.


Beliau telah menang secara keseluruhan dengan kutipan undi sebanyak 303 daripada jumlah perwakilan yang hadir sebanyak 381 ahli mengalahkan pesaingnya Mohamad Bakri Hashim.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]