Bapa Editor Kampus Sinar Harian meninggal dunia

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Bapa Editor Kampus Sinar Harian, Noor Fazidah Umar, 39,  meninggal dunia akibat kanser hati.


Noor Fazidah memberitahu, allahyarham bapanya, Umar Sulaiman, 73, disahkan meninggal dunia ketika masih menerima rawatan di Hospital Shah Alam pada jam 6.22 pagi tadi.


Menurutnya, sebelum disahkan menghidap kanser hati, allahyarham bapanya kerap mengalami sakit di bahagian kanan perut, sebelum pemeriksaan lanjut dibuat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) April lalu.


Katanya, selepas memperoleh keputusan mendapati sakit dihidapi bapanya berpunca daripada kanser yang sudah merebak hampir ke seluruh badan.


“Memang kami sekeluarga terkejut, tak sangka sakit ayah seteruk itu….Tapi kami cuba sedaya upaya mendapatkan rawatan terbaik untuk ayah walaupun doktor sudah maklumkan di peringkat ini penyakit tersebut sukar untuk dirawat.


“Keadaan ayah bagaimanapun bertambah buruk sehinggalah dia tak sedarkan diri pada Ahad lalu…Kami bawa dia ke bahagian kecemasan dan doktor maklumkan ayah masih ada tapi tak boleh bergerak kerana diserang strok,” katanya kepada Sinar Harian.


Noor Fazidah berkata, selepas dirawat, keadaan ayahnya dilaporkan stabil, sebelum, ibunya, Zaharah Dollah meminta dia dan empat lagi adik-beradik lain untuk datang ke hospital petang semalam kerana keadaan ayah bertambah tenat.


“Kami semua menunggu di hospital untuk melihat perkembangan ayah, namun ALLAH lebih sayangkan dia…Lebih kurang jam 6.22 pagi tadi, dia dijemput pergi


“Sedih memang sedih tapi melihatkan keadaan ayah yang cengkung dan terpaksa menanggung kesakitan setiap hari, ini mungkin yang terbaik yang ALLAH dah rencanakan…..Kami semua reda,” katanya yang merupakan anak kedua daripada lima beradik.


Noor Fazidah berkata, allahyarham bapanya akan disembahyangkan di Masjid Al-Amin Seksyen 17, di sini dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, di sini, selepas solat Zohor.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]