Exco jumpa Bro Saddiq 15 Julai ini

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi membincangkan beberapa perkara melibatkan negeri ini, 15 Julai depan.


Mohd Khuzzan berkata, pertemuan itu antara lain adalah bagi mengetahui dasar dan rancangan kerajaan pusat agar selari dengan kerajaan negeri.


“Saya mengucapkan tahniah kepada Syed Saddiq di atas pelantikan beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baru.


“Insya-ALLAH pada 15 Julai ini, saya akan mengadakan pertemuan dengan beliau bagi mengenal pasti polisi terkini daripada pihak pusat bagi dia sama dengan apa yang kita sekarang adakan di peringkat negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan program jogathon dan sukan rakyat Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Temenggong Ibrahim di sini, semalam.


Mohd Khuzzan berkata, beliau juga akan membincangkan mengenai pembangunan belia di peringkat akar umbi dan sukan-sukan yang perlu diberikan keutamaan di Johor antaranya hoki, tinju serta ragbi.


Selain itu, katanya, pertemuan bersama Ahli Parlimen Muar itu juga akan memberi makluman kepada pihak kementerian mengenai persiapan menganjurkan Sukan Malaysia (Sukma) 2020.


“Ya (berbincang mengenai Sukma). Saya akan maklumkan mengenai (persiapan) Sukma 2020 kerana kita dimaklumkan bahawa bajet untuk Sukma 2020 kira-kira RM98 juta untuk menguruskan Sukma.


“Jadi saya akan maklumkan lebih awal mengenai persiapan kita dan selaku Ahli Parlimen Muar, insya-ALLAH kita akan mohon lebih daripada itu bagi memastikan Sukma tahun 2020 ini mencapai sasaran apa yang kita mahu,” katanya.


Beliau berkata, Johor melaungkan komitmen untuk menjadi tuan rumah terbaik bagi penganjuran Sukma kali ini, selari dengan Wawasan 2020 yang sinonim dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.


Mengulas mengenai langkah kerajaan untuk memastikan golongan belia menjadi fokus utama dalam agenda pembangunan negara, Mohd Khuzzan mengalu-alukan kenyataan Syed Saddiq mengenai perkara itu.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]