Gesa kerajaan hapuskan BTN

in Nasional by


BUKIT MERTAJAM – Kerajaan diingatkan tentang janji untuk menghapuskan Biro Tata Negera (BTN) seperti yang terkandung dalam manifesto Harapan.


Adun Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung berkata, agensi berkenaan sebelum ini telah disalahgunakan oleh Umno dan BN untuk menyebarkan fahaman politik dan mempengaruhi remaja.


Menurutnya, beliau terkejut dengan laporan berita mengenai keputusan kerajaan untuk mengekalkan BTN yang kontroversi di bawah Jabatan Perdana Menteri.


“BTN sepatutnya tidak ada tempat dalam Malaysia Baru selepas PRU14 lagi.


“Ia adalah raksasa ciptaan BN untuk menyebarkan kebencian dan sikap tidak bertoleransi yang mesti disingkirkan dan dihapuskan,” katanya di sini semalam.


Hsiao Leung turut mempersoalkan mengapa kerajaan perlu menghabiskan lebih banyak wang untuk mengekalkan agensi yang digunakan sebagai alat politik selama beberapa dekad oleh BN untuk mencuci otak kakitangan awam dan pelajar dengan propaganda mereka.


Katanya, sebelum ini pergerakan masyarakat sivil seperti G25 telah pun mengutuk BTN sebagai alat yang digunakan untuk melemahkan perpaduan negara dan telah menyeru untuk pembubarannya.


“Sebuah agensi kerajaan yang menggalakkan perkauman, ekstremisme dan perpecahan seperti BTN tidak mempunyai tempat di Malaysia baharu kita. Saya menggesa kerajaan untuk menimbang semula keputusannya bagi mengekalkan BTN ini.


“Bagaimanapun, sekiranya kerajaan tetap mahu meneruskan BTN ini, perlu diperjelaskan keseluruhan matlamat dan tujuannya selain  dirombak semula kesemua ketua-ketua jabatan lama serta pegawai,” katanya.


Hsiao Leung berkata, peranan BTN seharusnya untuk mengukuhkan dan meningkatkan harmoni dan perpaduan nasional berdasarkan prinsip-prinsip asas Rukun Negara kita, yang mesti mencerminkan semangat solek berbilang kaum dan agama negara kita.


Katanya, kerajaan kita mesti memperjelaskan dan membuatnya secara umum dan terbuka bagaimana bentuk dan cara BTN akan disusun semula sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk mengekalkan biro tersebut.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]