Kita tak mahu Umno terus rosak

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Beberapa bekas calon Ahli Jawatankuasa (AJK) bagi pemilihan Bahagian Hulu Selangor Sabtu lalu membuat bantahan kepada Umno Selangor, hari ini berhubung proses pengundian pada yang didakwa tidak mengikut prosedur ditetapkan.


Bekas calon AJK Bahagian Hulu Selangor, Mohamed Mahyuddin Tajuddin berkata, dalam pemilihan tersebut, terdapat beberapa kesilapan dilakukan oleh pihak urusetia sehingga menimbulkan beberapa isu sebelum ini.


“Antara isu yang timbul ialah terdapatnya lebihan 440 kertas undi, amalan politik wang oleh calon, urusetia yang bertanding masuk dan menjalankan kerja-kerja pengiraan di dalam dewan serta mengedarkan cai kepada perwakilan.


“Kita tak nak Umno itu terus rosak dan kami hadir pada hari ini untuk membuat bantahan mengenai perkara tersebut,” katanya ketika sidang media di Bangunan Umno Selangor, hari ini.


Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan mengenai dakwaan lima bekas calon AJK yang bertanding di bahagian tersebut berhubung berlakunya penipuan apabila terdapat lebihan sebanyak 440 kertas undi bagi jawatan tersebut.


Difahamkan, lebihan kertas undi itu disedari oleh dua pemerhati pengiraan iaitu Mohd Shahfrizan Mohd Sharif dan Mohd Adzuar Alias ketika proses pengiraan dilakukan.


Mengulas mengenai isu amalan politik wang dalam pemilihan bahagian itu, Mahyuddin berkata, salah seorang penerima token berkenaan juga telah membuat pengakuan berhubung perkara tersebut dan turut mengangkat sumpah baru-baru ini.


“Kita rasakan bahawa rakyat mahukan kejujuran, keikhlasan dan amanah dalam kepimpinan Umno pada hari ini dan disebabkan itulah bantahan ini dihantar supaya mendapat perhatian daripada kepimpinan tertinggi,” katanya.


Dalam pada itu, calon Timbalan Ketua Bahagian Hulu Selangor, Zam Hasril Jaafar berkata, pihaknya tidak mempertikaikan kemenangan Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan bagi jawatan ketua bahagian namun proses pemilihan tersebut dilihat begitu meragukan.


Beliau berkata, Mat Nadzari sewajarnya menggalas tanggungjawab susulan timbulnya beberapa isu sebelum ini memandangkan beliau memainkan peranan dalam mengkoordinasikan urusetia sewaktu pemilihan terbabit.


“Kita tak pernah pertikaikan kemenangan Mat Nadzari namun beliau harus ambil tanggungjawab ini sehingga menyebabkan timbulnya beberapa isu dalam pemilihan bahagian kali ini,” katanya.


Tambah Zam Hasril, pihaknya juga akan membuat laporan di Balai Polis Sentosa dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas ini berhubung isu tersebut.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]