Konflik AS-China, penjualan asing dijangka berterusan

in Bisnes by


PENJUALAN asing dijangka terus menjejaskan ekuiti pasaran pesat membangun, termasuk di Malaysia, sehingga penghujung tahun ini disebabkan retorik perdagangan anti-China oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump serta jangkaan lebih banyak kenaikan kadar faedah AS.


Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata, kebimbangan terhadap perang perdagangan AS-China menyebabkan ketidaktentuan yang tinggi di pasaran dunia, dengan pasaran pesat membangun paling teruk terjejas selain menyaksikan penjualan berterusan.


“Kenyataan Trump akan memberi impak ke atas pasaran dunia tambahan pula beliau ialah seorang yang tidak boleh dijangka, malah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan beliau tidak tetap pendirian.


“Oleh itu, saya menjangkakan penjualan tersebut berterusan, namun tidak sebanyak ketika ia mencatatkan paras tertinggi pada Mei,” katanya kepada Bernama.


Kenyataan mengenai perdagangan oleh Trump yang berubah-ubah telah meletakkan pasaran global dalam situasi tidak menentu baru-baru ini.


Pada Khamis, Presiden AS itu kembali bertolak-ansur dan menarik balik sekatan ke atas pelaburan China selepas mengancam untuk mengenakan tarif ke atas import China ke negara itu baru-baru ini.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]