KPKT cari 27 pemilik rumah Highland Towers

in Nasional by


PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memohon 27 lagi pemilik rumah di kondominium Highlands Tower tampil bagi menyelesaikan beberapa kajian sebelum pembangunan semula kawasan itu dilaksanakan.


Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Sri Mohammad Mentek berkata, satu jawatankuasa khas sudah mengenalpasti 111 pemilik rumah itu tetapi masih memerlukan maklumat daripada 27 pemilik rumah yang masih tiada rekod.


Menurutnya, perkembangan positif diterima selepas mengadakan mesyuarat pada 7 Jun lalu bersama beberapa agensi termasuk


Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Jabatan Insolvensi , Jabatan Tanah dan Galian Selangor dan Jabatan Geosains.


[ARTIKEL BERKAITAN: Bangun semula Highland Towers: Selangor sedia bantu KPKT]


“Berdasarkan mesyuarat itu, sebenarnya terdapat 138 pemilik melibatkan tiga buah blok dan hanya satu blok sahaja yang runtuh.


“Sementara 27 unit lagi kita tak dapat kenalpasti siapa pemiliknya, jadi syarat nak robohkan perlu mendapat persetujuan semua. Kita juga sudah minta bantuan Jabatan Insolvensi untuk mendapatkan maklumat sehingga 16 Julai ini,” katanya dalam sidang media di Bilik Media, Aras 1, KPKT hari ini.


Sementara itu, Menteri KPKT Zuraida Kamaruddin berkata, apa yang menarik dalam jawatankuasa khas yang ditubuhkan, mereka telah mengenal pasti pemaju terlibat dan mereka telah hadir bermesyuarat dan gembira apabila kementerian mempunyai cara membangunkan tanah.


Katanya lagi, sebenarnya mereka juga mempunyai cadangan-cadangan dan telah dibentangkan kepada kementerian.


“Sekiranya menarik pihak kami akan menjadikan satu projek kerjasama untuk KPKT dan pemaju untuk fasa kedua nanti,” katanya.


Sebelum ini, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang memaklumkan satu jawatankuasa khas akan diwujudkan dalam masa terdekat untuk melaksanakan kajian kemungkinan bagi pengambilan tanah dan pembangunan semula kawasan Highland Towers.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]