Lantik menteri hak mutlak PM, Agong setuju

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Pelantikan menteri Kabinet adalah hak mutlak Perdana Menteri dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, ia tidak sepatutnya dijadikan isu berbangkit.


Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian pasti bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menilai senarai nama barisan Kabinet bersandarkan beberapa kriteria utama yang relevan dengan pentadbiran semasa negara.


Menurutnya, Dr Mahathir selaku perdana menteri mempunyai kuasa mutlak untuk menamakan jemaah menteri yang dikategorikan sebagai layak dan terbaik untuk membantunya melicinkan urus tadbir kerajaan Pakatan Harapan (Harapan).


Beliau yakin 26 menteri dan timbalan menteri yang dipilih menganggotai Kabinet disaring menerusi formula terbaik berdasarkan etnik, agama, gender, wakil negeri, komposisi Sabah dan Sarawak, pendidikan dan kewibawaan serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.


“Kuasa memilih dan melantik menteri dan timbalan menteri di tangan Perdana Menteri, dengan restu Agong. Sepatutnya tidak dijadikan isu.


“Sebaliknya setiap pimpinan parti di bawah gabungan Harapan perlu memastikan menteri mereka menjalankan tanggungjawab yang terbaik di setiap kementerian yang dinaungi, bukannya berbalah.


“Dr Mahathir juga pernah mengakui, sukar untuk beliau memuaskan hati semua orang,” katanya kepada Sinar Harian.


Sivamurugan berkata, mungkin sebelum ini Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang juga Setiausa Agung DAP pernah berjanji untuk melantik, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming sebagai menteri jika Harapan menang, namun itu hanyalah janji ketika berkempen.


Sementara itu, Penasihat Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, lantikan menteri Kabinet yang diputuskan perdana menteri itu ada rasionalnya dan tidak wajar mencetuskan kemelut kerana ia boleh diselesaikan melalui muafakat dalaman.


“Tentunya pemilihan anggota Kabinet dibincangkan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan dan berasaskan prinsip proportionality berdasarkan perwakilan di Parlimen namun mesti ditapis ikut faktor tertentu demi maslahah parti dan negara.


“Mungkin juga dipilih melalui senioriti seseorang ahli Parlimen, saya anggap tidak perlulah kita buat spekulasi. Lagipun Harapan adalah kerajaan baharu, masalah seumpama ini normal bagaimanapun, pastinya Dr Mahathir ada formula bijak untuk selesaikan konflik ini,” ujarnya.


Sebelum ini, Pemuda DAP merungut barisan Kabinet tidak mencerminkan jumlah kerusi yang dimenangi DAP yang memenangi jumlah kerusi Parlimen kedua terbanyak selepas PKR.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]