MB puas hati Sidang Dun berjalan lancar

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berpuas hati dengan sesi Sidang Dun Ke-14 yang sedang berlangsung kini dan melihat semua anggota jentera pentadbiran dan wakil rakyat bersama-sama terlibat dalam perbahasan dengan cara yang baik.


Menurutnya, ia satu permulaan yang baik bagi kedua-dua belah pihak untuk memberikan pandangan dan menyokong mana yang dirasakan baik dan memberikan teguran sekiranya ada perkara yang tidak wajar dilaksanakan.


“Kita perlu ‘check and balance’ dalam apa jua suasana, hatta dalam parti Pas sendiri yang menjadi kerajaan sekalipun, perlu pandangan daripada Adun lain untuk teguran dan maklum balas.


“Seperti yang selalu saya sebutkan sebelum ini, sebagai jentera pentadbiran yang diamanahkan, kita bukan manusia yang sempurna. Kita perlu menerima pakai pandangan dan mendapat maklum balas yang boleh mempertingkatkan kecekapan dan objektif yang ingin dicapai untuk memberikan khidmat  terbaik untuk rakyat dan Negeri Terengganu,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas sesi perbahasan titah Tuanku Sultan pada Sidang Dun Ke-14 yang berlangsung di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.


Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya membuat siaran langsung FB Live Sidang Dun Ke-14 melalui facebook rasminya dan laman web kerajaan negeri, bagi membolehkan rakyat memahami tugas yang seharusnya dilakukan oleh Adun, iaitu wakil rakyat yang dipilih mereka.


Pada masa yang sama katanya, ia membolehkan rakyat menilai sendiri, sama ada wakil rakyat mereka membawa mesej yang diminta atau tidak.


“Ini sebagai ‘check and balance’ juga kepada wakil-wakil rakyat. Interaksi melalui facebook rasmi saya misalnya, sudah sampai satu peringkat 70 peratus ‘reply’ kepada respon-respon yang telah diberikan.


“Ini juga akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa kerana interaksi melalui pelbagai cara sama ada secara langsung atau tidak, ia bagi membolehkan kita membuat pertimbangan dan meningkatkan kebolehan dan kecekapan jentera pentadbiran kerajaan,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]