Operasi cari kapal KM Sinar Bangun karam dihentikan

in Global by


JAKARTA – INDONESIA. Operasi mencari kapal KM Sinar Bangun yang dipercayai tenggelam bersama lebih 100 penumpang di perairan Danau Toba, Sumatera Utara sejak 18 Jun lalu, dihentikan hari ini.


Pemerintah Indonesia menghentikan operasi itu selepas keluarga mangsa bersetuju operasi itu dihentikan, selepas pencarian selama 15 hari itu gagal mencari mangsa yang dipercayai terperangkap di kapal yang tenggelam di kedalaman lebih 450 meter itu.


Menteri Koordinator Kemaritiman Indonesia Luhut,  Binsar Pandjaitan dipetik media Indonesia berkata keputusan itu dibuat selepas beliau mengadakan pertemuan bersama keluarga mangsa dan pasukan pencari yang terdiri daripada tentera dan polis.


“Setelah dialog dua arah (bersama pasukan mencari dan keluarga), sepakat dihentikan pada 3 Julai,” katanya dipetik media Indonesia.


Bagaimanapun pemantauan akan tetap diteruskan sekiranya terdapat mayat mangsa yang timbul di permukaan perairan Danau Toba itu, katanya.


Kapal kayu KM Sinar Bangun itu dilaporkan karam di perairan Danau Toba kira kira jam 5.30 petang Isnin (18 Jun) akibat cuaca buruk.


Berdasarkan laporan media Indonesia dan maklumat pihak berkuasa, terdapat pelbagai versi berhubung jumlah penumpang yang hilang akibat kejadian itu yang dipercayai berkemungkinan melebihi 100 orang.


Berdasarkan keterangan dan maklumat daripada aduan keluarga mangsa, kapal kayu KM Sinar Bangun itu berkemungkinan membawa 189 penumpang.


Sebanyak 19 mangsa berjaya diselamatkan dalam kejadian itu, dan empat mayat wanita ditemui setakat ini. – Bernama


Source: SH Global

[featured-video-plus]