Pesawad bakal duta kecil pelancongan

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


MELAKA TENGAH – Kerajaan negeri menerusi Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka akan mengangkat Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (Pesawad) yang giat memperjuangkan adat resam serta budaya Melayu sebagai duta kecil pelancongan negeri.


Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Muhammad Jailani Khamis berkata, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang selama ini melakukan perkara sama turut dijadikan duta bertujuan merancakkan lagi peranan dimainkan di samping mengiktiraf kewujudan setiap NGO terbabit.


“Kerajaan negeri menerusi Exco Pelancongan berpendapat bermula 1 Januari depan atau seawal-awalnya Oktober ini iaitu selepas perancangan dan penyelarasan tertentu termasuk membabitkan dana selesai, mereka akan menjadi duta kecil pelancongan dan ditempatkan di semua lokasi pelancongan negeri ini.


“Mereka akan diberikan kursus berkaitan pelancongan dan diberikan lesen khas. Penampilan mereka lengkap berbusana mempamerkan inilah Melaka yang sebenarnya. Perjuangan untuk memartabatkan bangsa dan adat resam harus diteruskan. Kalau tidak sekarang bila lagi?,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri di Majlis Ukhwah Aidilfitri Pesawad yang turut dihadiri Adun Duyong, Damien Yeo dan Pengerusi Pesawad, Khalid Hussin di Balai Pesawad Duyong, di sini.


Pada majlis berkenaan, beliau turut meyakinkan bahawa kerajaan juga turut merancang menaikkan taraf Galeri Warisan yang diwujudkan Pesawad terletak di Duyong.


Difahamkan, galeri yang menyimpan lebih 200 artifak, manuskrip dan lain-lain bahan sejarah berkaitan dengan orang-orang Melayu kini menjadi salah satu lokasi tumpuan pelancong di negeri Melaka.


Pada majlis berkenaan Muhammad Jailani turut dihadiahkan sepersalinan Busana Melayu.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]