Sambal buah setar menu mengejut majlis Aidilfitri

in Edisi Terengganu by


KUALA BERANG – Menyebut mengenai buah setar, kebiasaannya buah punyai rasa masam manis ini dinikmati sebagai jeruk ataupun ‘colek'(cicah kicap) bagi mereka yang menggemarinya.


Namun sebenarnya, selain daripada itu buah yang seakan kundang atau nama saintifiknya ‘bouea macrophylla griff’ ini juga sering dijadikan sambal oleh orang-orang terdahulu untuk dimakan bersama nasi.


Bagaimanapun kini, pastinya ramai dalam kalangan komuniti khususnya generasi muda tidak mengetahui perihal menu sambal buah setar yang boleh membangkit selera untuk makan nasi putih ini.


Tidak mahu menu tradisi orang-orang lama ini lenyap dek peredaran masa, peniaga Pasar Tani Kuala Berang bergotong-royong menyediakannya sebagai hidangan sempena Sambutan Hari Raya Pasar Tani Kuala Berang, semalam.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.851844.1530579869!/image/image.jpg
Menu sambal buah setar jadi juadah istimewa pada Majlis Hari Raya Pasar Tani Kuala Berang, semalam.


Tambah menarik, orang ramai bukan sahaja berpeluang nikmati juadah istimewa itu tetapi turut melihat sendiri cara tradisi bagi hasilkan sambal buah setar  menggunakan lesung yang turut diadakan di lokasi majlis berkenaan.


Berkongsi cerita, peniaga sayur di Pasar Tani Kuala Berang, Siti Zaleha Yunus,37, inisiatif itu diharapkan sedikit-sebanyak memberi pendedahan kepada orang ramai menu sambal buah setar yang cukup mudah disediakan itu.


“Sambal ini cukup digemari oleh orang-orang dahulu sebagai lauk nasi dan boleh dikatakan tidak perlu lagi lauk lain kerana semua rasa ada dalamnya. Kalau suka pedas, boleh lebihkan cili.


“Hari ini(semalam) kami gunakan lebih kurang lima kilogram buah setar dan antara bahan lain diperlukan ialah ikan kukus, cili, bawang serta kelapa. Caranya begitu mudah iaitu ditumbuk sahaja sehingga lumat kesemuanya.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.851845.1530580125!/image/image.jpg
Kakitangan Fama tidak ketinggalan untuk melihat dengan lebih dekat cara hasilkan sambal buah setar.


“Terlebih dahulu tumbuk ikan kukus hingga lumat lepas itu masukkan satu persatu cili, bawang, kelapa dan akhir sekali isi buah stor. Pastikan bahan yang ditumbuk lumat dulu sebelum dimasukkan bahan seterusnya.


“Secara tradisinya, sambal buah setar ini ditumbuk gunakan lesung dan ia secara tidak langsung memerlukan kerjasama. Semangat gotong-royong orang terdahulu menebal dalam diri,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.


Tambah Siti Zaleha, secara kebetulan kini musim buah berkenaan dan kerana itu jugalah peniaga sepakat menyediakan sambal buah setar itu sebagai juadah istimewa sempena majlis jamuan Hari Raya kali ini.


Katanya lagi yang berasal dari Kampung Baung, sambal itu juga sebenarnya tiada dalam senarai menu hidangan majlis tetapi disediakan secara mengejut sekaligus memeriahkan lagi sambutan.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.851846.1530580096!/image/image.jpg
Peniaga Pasar Tani Kuala Berang bergotong-royong sediakan menu sambal buah setar.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]