Sifar GST: 3281 premis di Johor diperiksa

in Edisi Johor by


JOHOR BAHRU – Sebanyak 3281 premis merangkumi pelbagai operasi pengedaran barangan diperiksa sepanjang pelaksanaan Ops Catut 4.0 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor.


Pengarah KPDNKK Johor, Khairul Anwar Bachok berkata, operasi yang dilakukan sejak 1 Jun itu turut membabitkan sebanyak 68,664 jenis barangan dan perkhidmatan.


“Kita melakukan operasi dan semuanya berjalan dengan baik serta diberikan kerjasama. Pemeriksaan ini juga menyaksikan kita di Johor merupakan jumlah pemeriksaan kedua terbesar di belakang Selangor.


“KPDNKK Johor juga terima aduan 170 aduan berhubung permasalahan yang berlaku. Daripada jumlah itu juga sebanyak 50 amaran telah dikeluarkan kepada peniaga yang dikesan tidak menurunkan harga barangan,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media Mesyuarat Penyelarasan Program Perdagangan Dalam Negeri bersama Persatuan Usahawan dan Penjaja Johor UTC Johor, hari ini.


Hadir sama, Exco Penerangan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Exco Kepenggunaan, Sumber Manusia dan Perpaduan Johor, Dr S Ramakrishnan.


Khairul berkata, semakan semula turut dilaksanakan kepada premis yang telah diperiksa itu yang mana keseluruhannya kini telah akur serta mematuhi arahan penurunan harga seperti diminta.


Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNKK Negeri Johor, Aris Mamat berkata, sebarang masalah serta aduan perlu dilakukan oleh masyarakat sekiranya kadar harga yang ditawar para peniaga masih mencurigakan.


“Kita sebenarnya perlukan maklumat spesifik dekat mana dan berapa harganya itu, kita tidak boleh pergi secara rawak untuk operasi besar sebab kita tiada pegawai yang ramai di sini.


“Semuanya perlukan maklumat spesifik di kawasan mana dan tahu apa isunya. Sebab bila kita nak siasat peniaga itu memerlukan bukti yang kukuh. Kita tidak boleh pergi sahaja nanti disalah erti penyalahgunaan kuasa. Jadi kerjasama serta aduan adalah sangat penting,” katanya.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]