Siling sekolah runtuh

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


TAMPIN – Sebuah blok yang dijadikan dewan serta kelas buat pelajar di Sekolah Menengah Rendah Agama Gemas, Gemas di sini dikhuatiri mengundang bahaya berikutan struktur silingnya sudah dimamah anai-anai.


Ahli Parlimen Tampin, Dr Hasan Bahrom berkata, perkara yang berlaku di sekolah yang dahulunya dikenali sebagai Sekolah Rendah Agama Rakyat Gemas itu ketahui pada pagi kelmarin sebelum bergegas melawat ke sekolah berkenaan pada sebelah petang.


Menurutnya, hasil lawatan mendapati sebuah blok lama yang berusia kira-kira 22 tahun sudah pun mengalami kerosakan di bahagian silingnya susulan dimamah anai-anai.


“Saya mendapat tahu bangunan ini mulai dimamah anai-anai selepas kejadian banjir besar yang berlaku di daerah ini dalam tahun 2011.  Bermula dari situ, bahagian siling terutamanya di bahagian kayu sudah pun dimamah anai-anai.


“Ada juga siling yang sudah jatuh dan kita memandang serius mengenai permasalahan ini lebih-lebih lagi ia membabitkan keselamatan pelajar,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.


Hasan berkata, sebagai langkah awal, Parlimen Tampin akan berunding dengan jawatankuasa Masjid Jamek Gemas untuk menggunakan ruangan parkir masjid untuk menempatkan kabin bagi kegunaan pelajar yang masih menggunakan kelas di blok lama berkenaan.


“Kita akan mengetengahkan permasalahan serta permohonan baik pulih sekolah yang sudah dimamah anai-anai berkenaan secepat mungkin sebab perkara ini melibatkan nyawa pelajar dan kita ingin mengurangkan risiko berlakunya perkara tidak diingini.


“Kita juga sentiasa menerima aduan daripada rakyat di parlimen ini dan akan terus turun padang ke lokasi aduan bagi melihat langkah yang perlu diambil bagi mengatasi masalah berkenaan,” katanya.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]