Tarikh 3 Julai sejarah untuk Malaysia

in Nasional by


SHAH ALAM – Ketika perhatian terarah kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), negara gempar dengan beberapa penahanan dan soal siasat dikenakan terhadap individu ternama.


Mereka ialah bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, anak tiri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Aziz dan yang paling mengejutkan ialah Najib sendiri yang ditahan di rumahnya, petang tadi.


Ahmad Zahid dipanggil awal pagi tadi ke Ibu Pejabat SPRM untuk memberi keterangan berkaitan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Najib dan isu dana Yayasan Akalbudi.


Beliau keluar lebih awal daripada bangunan SPRM dan enggan mengulas mengenai penahanan terhadap Najib manakala Shahrir yang keluar selepas itu juga dilihat terkejut dengan soalan diajukan media mengenai penahanan tersebut lalu bertanya kembali kepada media bila dan di mana Najib ditahan.


Sehingga kini, tiada laporan diterima mengenai perkembangan semasa adakah Riza telah keluar daripada pejabat SPRM selepas lapan jam memberi keterangan.


Tarikh 3 Julai 2018 pastinya bakal terpahat dalam lipatan sejarah negara, apabila individu pernah menjadi perdana menteri dikaitkan dengan pelbagai skandal seperti dana RM2.6 bilion dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditahan oleh pihak SPRM sekitar jam 3 petang tadi.


Berdasarkan kepada kenyataan Pasukan Petugas Khas 1MDB dalam satu kenyataan hari ini berkata Najib akan dituduh jam 8.30 pagi esok (Rabu) di Mahkamah Kuala Lumpur.


Bulan lalu, dua kali Najib dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaan rasuah berkaitan SRC dan 1MDB yang sedang dijalankan oleh SPRM.


Media sebelum ini melaporkan siasatan SPRM menemui bukti sejumlah RM42 juta (AS$10.6 juta) dipindahkan daripada dana 1MDB ke dalam akaun peribadi Najib pada akhir 2015, sebelum membuat cadangan supaya siasatan lanjut dijalankan tetapi ditolak peguam negara ketika itu.


Susulan langkah pihak berkuasa Malaysia membuka semula siasatan kes terbabit, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan terhadap 1MDB dengan kerjasama pihak berkuasa Malaysia berhubung skandal itu.


Pada 2016 dan 2017, DOJ mengambil tindakan melucutkan hak terhadap aset bernilai lebih AS$1.7 bilion yang disyaki hasil penyelewengan dana 1MDB.


Berdasarkan aduan, sejumlah lebih AS$4.5 bilion dana daripada 1MDB, didakwa diselewengkan menerusi pelbagai syarikat dan akaun bank yang terletak di Amerika Syarikat dan negara lain.


Kisah penahanan Najib ketika ini menjadi isu paling hangat bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara.


Mungkin ramai tertanya-tanya apakah perasaan Najib ketika ini, bagaimana beliau di dalam lokap SPRM yang dikatakan berada di bahagian bawah bangunan agensi itu dan bagaimana isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor melalui saat genting seperti ini.


Jika kembali kepada tarikh 3 Julai 2017, Pas bersama Gagasan Sejahtera menyatakan pihaknya akan membawa memorandum bagi pembentukan Suruhanjaya Diraja (RCI) untuk menyiasat skandal 1MDB kepada Yang di-Pertuan Agong.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]