Tekad pulang dengan piala

in Sukan by


DUA kali beraksi di pentas final bersama Pahang, pemain tengah Tok Gajah, Mohamadou Sumareh menyimpan impian pasukan itu pulang selaku juara Piala FA 2018.


Gagal meraih piala berprestij itu musim lalu selepas tersungkur di tangan Kedah dengan kekalahan tipis, 2-3, pemain kelahiran Gambia itu tidak rela berputih mata sekali lagi.


Menurutnya, pengalaman musim lalu memberikan banyak pengajaran buat dia dan rakan sepasukan untuk tidak melakukan kesilapan yang mengundang padah.


“Musim lalu walaupun kami terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas menerima kad merah (Kiko Insa) tetapi kami tetap mampu bermain dengan baik hingga tamat perlawanan.


“Cuma nasib tidak menyebelahi kami tetapi pengajarannya telah kami peroleh,” katanya kepada Sinar Harian.


Ujar pemain berusia 23 tahun itu, dia dan rakan sepasukan menetapkan sasaran mereka untuk muncul juara.


“Penyokong berhak menerima dan melihat Pahang muncul juara kali ini.


“Jadikan ia sesuatu yang amat bermakna dan sejarah buat kami semua,” katanya yang sudah bersedia sepenuhnya untuk aksi Sabtu ini di Bukit Jalil.


Sumareh yang mula menyarung jersi Pahang pada 2017 antara barisan pemain utama musim lalu dan menjadi tonggak utama buat skuad kendalian Dollah Salleh.


Naib juara 2017 dan 1995 dan pernah menjulang piala tersebut pada musim 2006,2014 itu melangkah ke perlawanan akhir musim selepas mencatatkan agregat 3-2 menyingkirkan PKNP FC untuk berdepan juara lima kali,Selangor di Stadium Bukit Jalil,Sabtu ini.


Source: SH Sukan

[featured-video-plus]