‘Umno boleh bangkit semula’

in Politik by


SHAH ALAM – Umno mampu menjadi pembangkang yang kuat sekiranya perubahan secara total dilakukan dalam parti berkenaan.


Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, untuk melakukan perubahan itu Umno mempunyai ruang waktu yang cukup.


Menurutnya, Umno boleh belajar daripada parti Demokratik Liberal (LDP)  yang segera bangkit setelah tewas mengejut dalam pilihan raya Jepun pada 2009.


“Kita lihat dengan kekuatan sekitar 50 kerusi Parlimen, Umno dilihat mampu menjadi sebuah parti pembangkang yang kuat sekiranya melakukan beberapa dasar pembaharuan dan pemulihan.


“Ini satu keadaan kritikal kepada Umno untuk memastikan kelangsungan parti tersebut, memastikan kerelevanan parti dan untuk itu, perubahan total perlu dilakukan, mentaliti kena berubah agar menjadi pembangkang yang baik,” katanya pada sesi FB Live Sinar Harian, di sini, semalam.


Sementara itu, ketika ditanya adakah Umno sukar berubah kerana sudah tertanam pemikiran ‘kerajaan’, Dr Awang berkata, Umno mampu melakukannya sedikit demi sedikit.


“Ini tidak mustahil, sekiranya Umno dapat diet yang bagus, Umno mampu bangkit dan kembali mendapat tempat dalam kalangan rakyat,” katanya.


Mengulas mengenai pemilihan Umno sesi 2018-2021, terutama gandingan Presiden dan Timbalan Presiden Umno, Dr Awang berkata, kombinasi mereka adalah gandingan yang mantap.


“Datuk Seri Mohamad Hasan mempunyai latar belakang orang korporat, yang dapat menyusun organisasi dan boleh diaplikasikan dalam konteks pengurusan parti.


“Begitu juga Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri mempunyai latar belakang dalam korporat komunikasi dan sudah berpengalaman dalam politik selama 30 tahun, yang memperlihatkan akar umbi ingin melihat kesinambungan dalam Umno,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]