Xavier jamin isu air Selangor selesai sebulan

in Nasional by


PUTRAJAYA – Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli memberi jaminan dapat menyelesaikan isu air di Selangor dalam tempoh sebulan.


Menterinya, Dr Xavier Jayakumar berkata, perkara itu terkandung dalam janji 100 hari Harapan di mana kementerian ini perlu menyelesaikan masalah air di negeri itu.


Menurutnya, pihaknya berbincang dan bersetuju melanjutkan tempoh sebulan lagi untuk menyelesaikan isu air memandangkan tarikh akhir mengetahui keadaan air di Selangor adalah pada 4 Julai (esok).


“Sebelum hadir ke mesyuarat ini, kementerian telah mengadakan perbincangan dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen), Air Selangor dan Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shaari mengenai isu ini.


“Kita bersetuju dan boleh menyelesaikan masalah air dalam sebulan akan datang,” katanya pada Sidang Media di Wisma Sumber Asli, Putrajaya hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: Isu air: Azmin jawab Najib]


Xavier berkata, perkara itu adalah cabaran yang sedang dihadapinya dan air penting buat masa ini.


Katanya, kerana sebab itu perlu ada satu perancangan untuk tempoh dua puluh tahun akan datang bagi memastikan ia berjalan dengan baik.


Mengulas mengenai punca isu air berlarutan sejak sekian lama beliau memberitahu tidak perlu membangkitkan isu lalu, tetapi pandang ke hadapan untuk menyelesaikan isu dalam masa sebulan lagi.


Beliau turut mengumumkan pengurusan aset air dan loji kini berada di bawah kementeriannya dan bukan lagi di bawah Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA).

 


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]