Di mana ibu bapa Nur Farah Hannah Zairina?

in Edisi Johor by


KOTA TINGGI – Sepasang suami isteri di Kampung Sentosa, Tanjung Sedili di sini merayu ibu bapa kandung anak angkatnya tampil bagi membantu urusan bagi mendapatkan kad pengenalan kanak-kanak tersebut.


Zamiah Mohamed Lazin, 41, berkata, anak angkatnya, Nur Farah Hannah Zairina Samsol, 13, dijaga dan disayangi seperti anak kandungnya sendiri.


Menurutnya, Nur Farah dibela sejak bayi lagi ketika usianya 15 hari selepas ibu bapanya datang menyerahkan kanak-kanak itu di kediamannya pada 2005.


“Ibunya dikenali sebagai Ning orang Sabah sementara ayahnya orang Segamat. Keduanya warganegara Malaysia. Mereka serah untuk jagaan saya sebagai anak angkat tanpa apa-apa perjanjian ketika itu.


“Pasangan itu juga telah menyerahkan dokumen surat beranak bersama bayi tersebut ketika itu. Memandangkan kami tidak mempunyai anak saya begitu gembira untuk menjaga dan membesarkan Nur Farah. Kami anggap dia macam anak kami sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.


Tambahnya, dia difahamkan pasangan suami isteri itu kini sudah berpisah dan kali terakhir dia berjumpa ibu kandung dikenali dengan panggilan Ning itu ketika hendak buat surat pengesahan anak angkat di Kuala Lumpur.


Katanya, bagaimanapun ketika itu proses pengambilan anak angkat tidak dapat dilakukan dan kini dia serta suami sudah cuba mendapatkan Ning namun sukar dihubungi sehinggalah hari ini.


“Kami juga sudah cuba bagi duit untuk dia datang semenanjung untuk bantu proses membuat kad pengenalan Nur Farah namun dia tak muncul.


“Janji nak datang tahun lepas tapi tak datang juga. Masalah kami adalah kami tidak ada surat pengakuan anak angkat. Sekarang kami runsing kerana Nur Farah tiada kad pengenalan.


“Jika berterusan sudah pasti akan menyukarkan segala urusannya untuk belajar dan sebagainya yang berkaitan dengan masa depannya,” katanya lagi.


Jelasnya, apa diharapkan ibu kandung Nur Farah akan tampil bagi membantu urusan dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat.

 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]