Hala tuju pasukan TFC diketahui selepas AGM

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Nasib dan hala tuju pasukan bola sepak Terengganu (TFC) hanya akan ditentukan selepas dua jawatan tertinggi Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) diisi dalam waktu terdekat.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya menerima pelbagai cadangan penambahbaikan pasukan, namun ia hanya boleh dilakukan selepas jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PBSNT diisi.


Namun katanya, semua pandangan yang diberikan akan diberi perhatian dan ia akan dimuktamadkan sebaik sahaja penyusunan organisasi yang melibatkan persatuan dapat dilengkapkan dengan penyusunan jawatankuasa.


“Sekarang ini, jawatankuasa PBSNT masih lagi berlaku kekosongan contohnya jawatan Timbalan Presiden PBSNT yang dipegang Datuk Wan Nawawi Wan Ismail telah pun dikosongkan.


“Kita akan isi kekosongan tersebut dan presiden sekarang, iaitu bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dilaporkan akan membuat serahan pada bakal presiden yang baharu.


“Itu juga kita akan lakukan sebaik sahaja selesai beberapa perkara teknikal berkaitan Mesyuarat Agung Tahunan yang akan dilakukan nanti. Difahamkan, 7 Julai ini pihak persatuan akan mengadakan persidangan mereka untuk membuat keputusan melantik dua jawatan tertinggi persatuan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi perbahasan titah Tuanku Sultan pada Sidang Dun Ke-14 yang berlangsung di Wisma Darul Iman di sini, semalam.


Jelas Wan Sukairi, sebaik sahaja selesai pengisian dua jawatan tersebut, pihaknya akan mula melakukan perubahan kepada pasukan bola sepak Terengganu ke arah yang lebih maju agar kembali menyerlah.


“Kita ada menerima cadangan daripada pelbagai pihak, baik daripada bekas jurulatih, bekas pemain termasuk mereka yang berada dalam industri sukan bola sepak.


“Ada pelbagai pendapat, ada yang meminta supaya kita mengekalkan dua pasukan sedia ada dan ada juga yang berpendapat cukup dengan tumpuan pada satu pasukan sahaja dan gubal pasukan kedua,” katanya.


Ditanya adakah kerajaan negeri mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk kekal mengurus dua pasukan bola sepak, beliau berkata, kerajaan negeri tengah menyusun kembali persatuan bola sepak Terengganu dan turut mengambil kira sumber kewangan.


“Sememangnya sebelum ini, kerajaan negeri menjadi penyumbang terbesar kepada peruntukan ini di samping sedikit daripada pihak FAM. Namun, kita yakin dengan jawatankuasa baharu yang akan dilantik tidak lama lagi.


“Di samping pelan-pelan perubahan yang kita akan lakukan untuk menjadi sebuah persatuan yang tidak lagi menjadikan kerajaan negeri sebagai satu-satunya penyumbang kepada kewangan pasukan.


“Kita akan berusaha mencari dana sendiri, sama ada tajaan daripada syarikat berkaitan kerajaan, swasta atau pelbagai pihak, termasuk Tabung Sukan Negeri agar ia terisi dan bukan sahaja untuk sukan bola sepak tetapi juga untuk sukan-sukan yang lain. Ia akan menjadi sumber kepada kemajuan sukan di Terengganu, termasuk sukan bola sepak,” katanya.

 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]