Hasan mahu pulang jadi Menteri Pendidikan Syria

in Edisi Selangor KL by


MEMULAKAN kehidupan baharu di negara orang bukanlah mudah. Walaupun negara yang ditinggalkan meninggalkan 1001 memori pahit yang terpahat dalam jiwa, kerinduan pada kampung halaman tak mungkin dapat dielak.


Begitu juga dengan keluarga dari Syria yang kini menetap di Kuala Lumpur.


Menurut Hasan Al-Akraa, 18, dia dan keluarga berhijrah ke Malaysia sejak 2012 hasil bantuan rakan dari Terengganu yang pernah menetap di Syria.


Berasal dari sebuah perkampungan di Aleppo berhampiran sempadan Turki, mereka sekeluarga dahulu hidup gembira di rumah yang besar.


“Kehidupan kami boleh dikatakan senang apabila kami adik-beradik dihantar ke sekolah dan bapa saya bekerja sebagai kontraktor dan pemandu teksi.


“Kami ada segalanya… rumah, keluarga dan kawan. Namun perang memaksa kami berhijrah untuk hidup yang lebih baik,” kongsinya.


Kehidupan mereka yang sempurna diragut dek kekejaman peperangan.


Menetap di Malaysia bersama keluarganya, bagaimanapun ujar Hasan, kerinduan pada sanak saudara dan rakan-taulan yang masih menetap di Syria tidak pernah padam apatah lagi  menjelang Ramadan dan Syawal.


“1 Syawal adalah hari kami berkumpul dan bertemu sanak saudara serta rakan sambil menikmati juadah kegemaran Syria.


“Tapi di Malaysia kami sambutnya hanya di rumah bersama keluarga. Adakala kami keluar bersiar-siar dan makan di luar namun suasana dan perasaannya tidak sama dan kami sangat merindukan Syria,” luah anak muda ini.


Tahun ini merupakan tahun ketujuh dia sekeluarga menyambut hari raya di Malaysia dan semakin merindukan suasana di kampung halaman.


“Di Syria, keterujaan selepas 30 hari berpuasa sangat bermakna apabila bapa saya akan membawa kami ke bandar pada malam sebelum hari raya untuk membeli baju, manisan, buah-buahan, permainan dan bermacam-macam lagi.


“Pada hari raya kami akan bersarapan bersama sebelum ke masjid untuk solat sunat Aidilfitri dan bersalaman dengan datuk untuk mendapat duit raya,” katanya.


Dia dan sepupu kemudian akan ke taman permainan untuk bermain buaian.


“Kami akan beratur menunggu giliran dan perlu membayar 5 sen untuk lima minit. Penjaga buaian tersebut tidak membenarkan kami bermain sehingga kami menyanyikan lagu Awiha Belshadeh.


“Selepas puas bermain kami akan pulang ke rumah untuk menikmati pelbagai juadah disediakan seperti maqlubah, mahashi, tabloleh diikuti manisan kunafa, atayif, mamouniah dan juga aiskrim,”cerita Hasan lagi mengenang kemanisan beraya di kampung halaman sendiri.


Akuinya, mood berhari raya itu tidak sama seperti di negara sendiri tanpa kehadiran sanak saudara dan rakan-rakan.


“Raya kali ini berbeza, tidak sama seperti Syria dan tambah menyedihkan selepas datuk, sepupu dan rakan-rakan meninggal dunia disebabkan perang.


“Alhamdulillah kami amat bersyukur kerana kini dalam keadaan selamat dan masih hidup,” katanya.


Namun kata Hasan, besar harapannya, perang yang sekian lama membadai Syria akan berakhir agar mereka sekeluarga dapat pulang ke tanah air dan membina semula Syria baharu.


“Saya mendapat biasiswa menyambung pengajian di Universiti Nottingham Malaysia. Dalam masa sama saya juga aktif dalam kerja sukarelawan bersama rakan satu universiti memberikan pendidikan asas Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu bagi anak pelarian di Malaysia.


“Saya berharap menjadi guru selepas tamat pengajian dan kembali ke Syria sekiranya perang tamat untuk membangunkan generasi Syria. Saya juga bercita-cita mahu menjadi Menteri Pendidikan Syria supaya dapat mengubah sistem pendidikan yang saya sifatkan banyak kekerasan berbanding membantu pelajar,” katanya.

 


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]