Imtiaz Marang ditangguh

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri terpaksa menangguhkan projek pembinaan Sekolah Menengah Imtiaz Marang di Kampung Tok Muchong  kerana masalah kewangan.


Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, kerajaan memerlukan kos sebanyak RM60 juta bagi menyiapkan projek berkenaan.


Menurutnya, kos berkenaan merangkumi pembinaan sekolah dan kemudahan seperti kantin, asrama dan perkara-perkara berkaitan lain.


“Kita sudah ambil balik tanah individu seluas 16 hektar di Kampung Tok Muchong bagi membina sekolah ini tapi kewangan tidak mengizinkan ia dilaksanakan,” katanya pada persidangan Dun ke-14 di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Sulaiman Jusoh (Pas-Pengkalan Berangan) yang ingin mengetahui status projek berkenaan.


Dr Mamad berkata, buat masa sekarang 113 pelajar tingkatan 1 dan 2 Sekolah Menengah Imtiaz Marang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Tapai serta menumpang asrama SMK Wakaf Tapai.


Sekolah itu katanya mampu menampung kapasiti 300 pelajar dalam satu masa.


“Tahun depan kita jangka 100 pelajar baharu akan masuk dan kita akan hadapi masalah pada tahun 2020 nanti kerana ruang belajar tidak mencukupi.


“Penyelesaian jangka pendeknya adalah mungkin dengan menempatkan pelajar-pelajar ini di sekolah Imtiaz lain,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]