Jenazah Adam Rayqal selamat dikebumikan

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU- Jenazah bayi berusia lima bulan, Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ladang Tok Pelam, di sini, jam 10.30 malam tadi.


Sebelum itu, jenazah bayi itu tiba di Masjid Al-Muktafi Billah Shah jam 9.53 malam untuk solat jenazah yang diimamkan oleh Imam bertugas pada malam itu, shafiq haqimi ambak.


Jenazah Adam Raqyal dipangku bapanya, Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28, dari Masjid Al-Muktafi Billah Shah ke Tanah Perkuburan Islam  Ladang Tok Pelam sebelum disambut oleh datuknya, Mohd Fauzi Jusoh,61, masuk ke kawasan tanah perkuburan.


Lebih 1,000 orang hadir termasuk ibu bapa bayi malang, Farrah Madihah Othman, 28,  dan Mohd Sufi Naeif, 28, bagi memberi penghormatan terakhir kepada mangsa.


[ARTIKEL BERKAITAN: Jenazah Adam Rayqal disemadi di Kuala Terengganu]


Selain ahli keluarga mangsa, penduduk setempat yang terkejut dengan kejadian tragis menimpa mangsa turut hadir memenuhi kawasan perkuburan seawal jam 8.30 malam bagi melihat sendiri pengebumian bayi malang itu.


Suasana sedih menyelubungi tanah perkuburan berkenaan sepanjang proses pengebumian anak syurga itu.


Terdahulu, jenazah Adam Rayqal selamat tiba di rumah datuknya, Mohd Fauzi di Taman Chendering Utama, Chendering, di sini, jam 9.25 malam.


Turut hadir di rumah keluarga datuk mangsa adalah Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.


Malah, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kota turut hadir di kawasan tanah perkuburan memasang lampu agar proses pengebumian berjalan lancar selain polis yang mengawal lalu lintas.


Terdahulu, jenazah Adam Rayqal selesai dibedah siasat pada jam 2 petang sebelum dimandi dan disembahyangkan di surau IPFN HKL pada jam 2.15 petang dan dibawa keluar pada jam 3.06 petang tadi.


Jenazah bayi malang yang dibalut dengan kain batik dipangku ibunya dibawa menaiki kereta Honda Jazz bersama bapanya serta beberapa ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Ladang Tok Pelam, di sini.


Malam tadi, Adam Rayqal dilaporkan hilang selepas pengasuhnya dikatakan tersalah serah bayi berkenaan kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai bapanya di Kampung Nakhoda, Batu Caves kira-kira 6.30 petang, semalam.


Bagaimanapun, polis menemui mayat bayi berkenaan disorokkan dalam bahagian sejuk beku peti ais dua pintu di rumah pengasuh terbabit, kira-kira jam 11 malam tadi, selepas mendapati terdapat keraguan pada keterangannya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]