JSJ Selangor ke Indonesia bawa pulang Jamal

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Sepasukan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor akan dihantar ke Indonesia bagi membawa Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos pulang.


Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.


Menurutnya, pihaknya telah berhubung dengan Polis Republik Indonesia (Polri) dan telah mendapat kerjasama penuh.


“Kita sudah tetapkan pegawai itu, pasukan terdiri daripada dua hingga tiga pegawai dari JSJ Selangor itu akan berangkat ke sana (Indonesia) petang ini.


“Segala urusan dengan pihak sana telah diuruskan dan kita jangka dalam sehari dua ini, Jamal akan dibawa pulang,” katanya kepada pemberita di Majlis Sambutan Aidilfitri Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, di sini, hari ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: Jamal akhirnya ditangkap]


[ARTIKEL BERKAITAN: Jamal Yunos loloskan diri ke Indonesia?]


Kelmarin, Jamal telah ditahan Polis Indonesia pada jam 6.15 petang di Jakarta.


Pada 25 Mei lalu, Jamal, 48, yang sedang menjalani rawatan sakit belakang dilaporkan menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri sebelum disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang datang ke hospital itu pada jam 5.30 petang.


Jamal yang juga merupakan Ketua Gerakan Baju Merah sebelum ini didakwa atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu.


Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi turut mengulas berhubung bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang kini berada di United Kingdom.


“Polis telah hantar mesej kepada beliau (Musa) untuk dia beri kerjasama kepada kita. Kita tahu dia di mana, diharap dia patuh dan pulang untuk melengkapkan proses siasatan,” katanya.


Musa dalam satu kenyataannya sebelum ini berkata, kini beliau berada di United Kingdom  atas sebab perubatan dan urusan peribadi, sekali gus menafikan dakwaan bahawa dirinya menjadi pelarian selepas laporan intimidasi jenayah terhadapnya oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.


Musa mengesahkan beliau meninggalkan Malaysia secara sah pada 16 Mei.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]