Kena tindakan jika gagal laksana tugas

in Edisi Johor by


MUAR – Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana guru gagal melaksanakan tanggungjawab mendidik disebabkan aktif berpolitik.


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan, Aminolhuda Hassan berkata, tindakan bersesuaian akan diambil kepada guru terbabit seandainya beliau menerima aduan.


Menurutnya, penglibatan guru dalam bidang politik tidak disekat, namun perlu patuh beberapa aspek yang ditetapkan Jabatan Pendidikan termasuk mendapatkan kebenaran.


“Saya sedia maklum memang ada sebahagian guru aktif berkempen atau seumpamanya.


“Ingin saya ingatkan kepada pihak atasan di sekolah masing-masing, sekiranya mereka terlalu aktif berpolitik sampai tak masuk kelas, terlalu leka sehingga tak pegang buku rekod pelajar, sila maklumkan kepada saya, saya akan ambil tindakan.


“Jangan anggap mudah untuk tinggalkan tugas demi politik.


“Tugas hakiki seorang guru adalah mengajar, lepas tu nak pergi berpolitik silalah, tapi pastikan dapat kelulusan,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perayaan Hari Guru peringkat negeri ke-47 di sebuah dewan di Bakri, semalam.


Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri, Shaharudin Sharif.


Menurutnya, peringatan tersebut merangkumi semua parti politik termasuklah dalam gabungan Pakatan Harapan.


“Saya harap semua bahagian sama ada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pengetua mahupun guru besar terus buat laporan kepada saya atau pengarah. Sebab kita nak pastikan tugas hakiki guru ini berjalan dengan sempurna.


“Walaupun ada kalangan mereka yang datang dari politik Pakatan Harapan, kita ada peraturan sebagai kakitangan kerajaan. Jadi ahli tu tiada masalah, tu hak rakyat yang dibenarkan dalam perlembagaan, tapi perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan selagi ia tidak mengabaikan tugas sebagai pendidik,” katanya yang turut memaklumkan kebenaran hanya diperolehi berdasarkan kumpulan dan jawatan-jawatan tertentu yang telah termaktub.


Tambah beliau, sekiranya masih ada kalangan guru yang ingkar, maka tindakan akan diambil berdasarkan undang-undang bersesuaian yang telah ditetapkan di bawah kementerian itu.

 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]