LBS diiktiraf antara 10 pemaju terkemuka

in Bisnes by


LBS Bina Group Berhad (LBS) mendapat pengiktirafan pada Anugerah BCI Asia 2018, Anugerah 10 Pemaju Terkemuka 2018 yang mengiktiraf pemaju-pemaju dengan sumbangan paling penting ke arah pembangunan mampan dalam tujuh pasaran serantau merentasi Asia.


Pengiktirafan itu merupakan kali ketiga diterima LBS, yang berterusan memberikan komitmen dengan membina perbandaran-perbandaran mampan untuk komuniti yang sedang berkembang maju.


Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, LBS amat berbesar hati menerima pengiktirafan industri ini, menerusi Anugerah BCI Asia 2018 – Anugerah Sepuluh Pemaju Terkemuka 2018.


“Kami amat gembira kerana turut tersenarai antara yang terbaik dalam industri. Hala tuju kami yang jelas, sokongan daripada pasukan LBS yang berdedikasi dan kepercayaan daripada para pemegang saham dan pembeli kediaman kami telah memungkinkan pencapaian ini.


“Pencapaian ini meyakinkan kami bahawa kami sedang menuju ke arah yang betul. Memasuki separuh kedua 2018, kami kekal fokus untuk mewujudkan persekitaran hidup, kerja dan rekreasi yang mampan untuk manfaat para pembeli kediaman di Malaysia,” katanya pada Majlis Makan Malam Gala BCIAA 2018, di Petaling Jaya, Selangor.


Hock San berkata, kini ramai orang telah mula menyedari tentang jejak karbon mereka dan kita melihat ramai berusaha untuk mengurangkan kesannya ke atas alam sekitar.


“Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, kemapanan ialah satu elemen penting yang kami pertimbangkan dalam setiap projek dan proses kami.


“Ini bermakna kami bekerja kuat untuk menggabungkan amalan praktikal dalam reka bentuk kami bagi memaksimumkan pencahayaan dan pengudaraan semula jadi dalam kediaman; meningkatkan usaha untuk melaksanakan amalan cekap tenaga. Kami juga menggunakan bahan-bahan pembinaan yang mampan,” katanya.


Bercerita lebih lanjut tentang amalan-amalan mapannya pada masa ini, LBS berkongsi kebaikan dalam mengadaptasi Sistem Bangunan Berindustri (IBS) yang dapat meningkatkan kecekapan pekerja, mengurangkan bahan buangan, dan persekitaran tapak pembinaan yang bersih serta mengurangkan kesesakan.


LBS juga dikenali melalui penggunaan rekaan lestari; sebagai contoh, D’ Island Residence ialah salah satu daripada pembangunan terkemuka pertama dalam portfolio LBS yang menggabungkan sistem penuaian air hujan yang menakung air tidak boleh diminum dari bumbung untuk digunakan semula di sekeliling rumah.


Secara purata, sistem tersebut dianggarkan mampu menjimatkan air sehingga 84,862 liter air bagi setiap kediaman setahun. Ciri-ciri hijau yang lain termasuk lampu-lampu jalan yang menggunakan Diod Pengeluar Cahaya (LED) di sekeliling perbandaran Bandar Saujana Putra milik kumpulan yang menggalakkan kecekapan tenaga dalam jangka masa panjang.


Hock San berkata, kami percaya dengan menggabungkan elemen-elemen hijau ke dalam projek-projek pembangunan kami dapat menguasakan lagi para pembeli kediaman untuk mengurangkan jejak karbon mereka dalam jangka masa panjang.


“Amalan-amalan hijau bukan hanya keperluan kepada peraturan semata-mata tetapi hendaklah dilihat sebagai amalan terbaik yang berbaloi untuk diusahakan bagi membantu masyarakat masa hadapan berkembang maju,” katanya.


 


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]