Lelaki mengamuk, ugut bunuh ibu bapa

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Bengang kunci motosikalnya hilang, seorang anak mengamuk dengan bertindak melemparkan batu lesung ke arah ibunya, di sebuah rumah di Manir, di sini,  Ahad lalu.


Tidak cukup dengan itu, dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, lelaki berusia 20-an turut tergamak melepaskan marahnya dengan mengugut mahu membunuh kedua ibu bapanya, sekiranya enggan menyerahkan kunci kenderaan tersebut.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, suspek menyedari kunci motosikal miliknya hilang sejak 29 Jun lalu, sebelum menuduh jirannya mencuri kunci terbabit.


“Suspek mula mengamuk dengan merosakkan hampir keseluruhan atap rumah keluarganya dengan menggunakan tukul.


“Masih tidak berpuas hati kerana kehilangan kunci itu, pada keesokan harinya (30 Jun), kira-kira jam 7.30 pagi, suspek mengamuk lagi dengan merosakkan semua harta benda yang ada di dalam rumah keluarganya.


“Suspek bertindak sedemikian disebabkan tidak berpuas hati kerana menuduh ahli keluarganya turut bersubahat dengan jiran mereka berkaitan kehilangan kunci motosikalnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Idris berkata, pada Ahad lalu, sekali lagi suspek mengamuk kerana masih gagal menemui kunci motosikalnya dengan bertindak cuba membaling batu lesung ke arah ibunya, 70-an.


“Tidak cukup dengan itu, suspek mengugut mahu membunuh kedua ibu bapanya sekiranya masih gagal menemui kunci yang dicuri sebelum meninggalkan rumah” katanya.


Jelas Idris, tidak tahan melayan karenah suspek yang dikatakan sering mengamuk meskipun disebabkan perkara remeh, bapanya, 71, seorang pesara nekad membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.


“Selain itu, warga emas berkenaan membuat keputusan melaporkan kejadian kepada pihak polis kerana bimbang akan keselamatan diri dan ahli keluarganya pada masa akan datang,” katanya.


Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]