Lynas sambut baik kajian operasi

in Edisi by


KUANTAN – Permintaan Kumpulan Anti-Lynas yang meminta kerajaan Pakatan Harapan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji semula aspek penetapan syarat dan operasi dikenakan terhadap kilang proses nadir bumi itu di kawasan Perindustrian Gebeng, disambut baik.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amanda Lacaze berkatanya, pihaknya mengalu-alukan permintaan daripada kumpulan itu dan bersedia memberi kerjasama terhadap kajian yang ingin dilakukan.


Menurutnya, ini kerana Lynas Corporation sebuah entiti korporat yang telus dalam menjalankan sebarang urusan dan mengikut peraturan ditetapkan.


“Kami yakin sudah mendapatkan lesen mengikut syarat ditetapkan (kerajaan sebelum ini). Pihak berkuasa sebelum ini tahu kami menjalankan operasi secara selamat kepada orang ramai dan selamat kepada alam sekitar.


“Jadi dalam hal ini, kami alu-alukan sesiapa sahaja untuk lakukan kajian mengenai operasi kami kerana kami tahu cara kami bekerja selamat kepada semua pihak,” katanya.


Beliau  ketika ditemui selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri di kilang Lynas di Kawasan Perindustrian Gebeng, semalam.


Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mencadangkan satu jawatankuasa khas dapat diwujudkan bagi menyelesaikan isu berkaitan operasi kilang Lynas di negeri ini.


Bagaimanapun, katanya, cadangan tersebut perlu diajukan kepada Kabinet Harapan dan menteri berkaitan sebelum dilaksanakan.


Dalam pada itu, Amanda menjelaskan kewujudan Lynas tidak perlu dibimbangi oleh mana-mana pihak kerana mereka sudah mematuhi garis panduan ditetapkan sebelum ini.


Tambahnya, Lynas membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dalam pelbagai bidang kemahiran sekali gus membantu merancakkan ekonomi Malaysia.


“Kita berbangga dengan segala usaha yang dilakukan oleh kilang mereka sejak beroperasi 10 tahun lalu dan selamat…malah 97 peratus pekerja di Lynas adalah terdiri daripada orang tempatan.


“Kami berjaya melatih mereka menjadi pekerja berkemahiran selain berbelanja RM500 juta setahun di negara ini,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]