Masalah paip tak selesai

in Edisi Utara by


KUALA NERANG – Penduduk di Taman Desa Kenangan, di sini merayu kepada Syarikat Air Darul Aman (Sada) supaya dapat membaiki paip yang sering  pecah sejak lima tahun lalu hingga menjejaskan bekalan air di situ.


Menurut Rosli Jaafar,59, masalah itu sudah dimaklumkan beberapa kali kepada pihak berkenaan tetapi sehingga kini gagal menyelesaikan masalah.


“Penduduk kecewa kerana setiap bulan sudah pasti ada sahaja paip air di kawasan itu akan pecah. Ini menyebabkan bekalan air sering terputus hingga aktiviti harian mereka terjejas dan terpaksa menadah air pada waktu malam untuk kegunaan harian.


“Pada waktu siang air yang keluar dari paip bocor itu agak perlahan kerana mungkin digunakan sepenuhnya penduduk di situ. Pada tengah malam pula air paip akan keluar dengan banyak hingga melimpah di tengah jalan,” katanya.


Menurut Rosli, penduduk di situ sungguh sedih melihat limpahan air pada waktu malam sedangkan beberapa kawasan lain di Padang Terap masih lagi memerlukan bekalan air untuk kegunaan harian.


“Setiap kali jika membuat laporan pihak Sada datang dan hanya menukarkan paip lama dari jenis asbestos ke poly. Selang beberapa hari akan berlaku bocor semula di tempat lain dan ini merimaskan penduduk di taman itu.


“Paling terbaik ialah menukar semua sistem paip di sini kerana semakin uzur dan tidak mampu menampung aliran air yang semakin meningkat penggunaannya hari ini. Taman perumahan ini dibina pada 1990 dan paip yang terdapat di sini perlu ditukar bagi mengatasi masalah  paip bocor,” katanya.

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]