MB ucap takziah kepada keluarga Adam Rayqal

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri mengutuskan ucapan takziah kepada keluarga Adam Rayqal yang mayatnya ditemui disorokkan di bahagian sejuk beku peti ais di rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves.


Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu kenyataan turut berharap ibu bapa bayi berkenaan, Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi dan Farah Madiha Othman bersabar dengan ujian kehilangan Adam Raikal.


“Perkara ini amat mendukacitakan kita semua. Saya juga mengharapkan siasatan menyeluruh dijalankan dan semoga kejadian seperti ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang,” katanya hari ini.


Terdahulu, orang ramai dikejutkan dengan penularan berita kehilangan seorang bayi lelaki berusia lima bulan dipercayai dilarikan individu tidak dikenali dari rumah pengasuhnya di Taman Nakhoda, Batu Caves dekat sini, petang semalam.


Kehilangan Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif itu disedari ibunya, Farrah Madihah Othman, 28, selepas dihubungi pengasuh memaklumkan anaknya sudah diambil suaminya, Mohd Sufi Naeif Mohd Pauzi, 28.


Bagaimanapun, bayi malang itu ditemui tidak bernyawa dalam bahagian atas peti ais dua pintu di rumah pengasuh tersebut kira-kira jam 11 malam tadi selepas siasatan polis mendapati keterangan pengasuh terbabit meragukan.


Mayat bayi berkenaan lengkap dengan pakaian dibalut dengan kain lampin serta disumbat dalam beg berwarna hijau.


Jenazah bayi tersebut akan dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Ladang Sekolah, Kuala Terengganu.

 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]