Penahanan Najib bukti undang-undang telus

in Nasional by


SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun menyifatkan pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, membuktikan undang-undang dilaksanakan dengan telus dan adil.


Menurutnya, jika Najib mendakwa segala tuduhan terhadapnya adalah fitnah tanpa dibicarakan di mahkamah, ia dilihat sebagai tidak adil.


“Kita lihat bagaimana beliau (Najib) ditahan semalam dan proses pendakwaan terus dijalankan hari ini.


“Ini memberi keadilan kepada beliau kerana tidak ditahan lama sebelum didakwa di mahkamah.


“Proses pendakwaan ini penting kerana selama ini ada pihak yang kata isu yang dikaitkan dengan beliau hanya bersifat tuduhan dan fitnah.


“Sekarang, biar mahkamah yang menentukan sama ada beliau bersalah atau tidak,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, hari ini.


Bagaimanapun katanya, tidak semestinya pendakwaan dilakukan sudah membuktikan Najib bersalah dan biarlah mahkamah membuat keputusan.


Najib ditahan di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur pada 2.35 petang semalam sebelum didakwa di Mahkamah Sesyen di Jalan Duta hari ini, atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu penyalahgunaan kuasa membabitkan SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.


Terdahulu Aminuddin menerima sumbangan Tabung Harapan Malaysia daripada Heveaboard Berhad (RM200,000) , Scq Industries Sdn Bhd (RM100,000) dan Lifestyles and Health Care Services Sdn Bhd (RM100,000).


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]