Permintaan tinggi lobster air tawar

in Bisnes by


PERMINTAAN tinggi terhadap udang kara air tawar atau lobster air tawar dalam pasaran domestik dan antarabangsa mendorong masyarakat tempatan menternak udang kara untuk menambahkan pendapatan mereka.


Syarikat penternakan udang kara air tawar Bumiputera, 5 Star Lobster Air Tawar Enterprise menerokai bidang penternakan udang kara sejak setahun lalu mendapati potensi perniagaan tersebut dalam tempoh jangka panjang apabila ia memberikan pulangan lumayan.


Pengasasnya, Amru Najmi Osman berkata, udang kara air tawar yang merupakan makanan eksklusif di hotel dan restoran ternama kini bukan sahaja mendapat permintaan ketika bersaiz tujuh inci dan ke atas sahaja, malah ia mendapat permintaan tinggi walaupun bersaiz kecil.


“Kami menjalankan perniagaan secara atas talian dan terus kepada pelanggan sejak setahun lalu dan mendapat sambutan yang memberangsangkan. Sebanyak 70 peratus pendapatan syarikat disumbangkan oleh jualan udang kara untuk dijadikan benih, induk dan ibu bertelur. Selebihnya pula adalah pembelian dalam kalangan hotel dan restoran terkemuka dan individu dari seluruh Malaysia.


“Kami mampu menjual udang kara air tawar melebihi 40 kilogram sebulan dan memperoleh pendapatan RM6,000. Kebanyakan pembeli terdiri daripada pelanggan setia dan mereka yang merupakan pembeli pertama kali mahu berjinak-jinak dalam penternakan tersebut.


Kami menjual 1,000 udang kara air tawar sebulan untuk dijadikan benih dan ibu bertelur yang menghasilkan 200 biji sehingga 1,000 biji telur,” katanya ketika ditemui di Putra Perdana, Selangor.


Amru berkata, untuk pembelian sebagai benih, syarikatnya menjual udang kara air tawar mengikut saiz iaitu RM5 bagi tiga hingga empat inci manakala RM12 bagi saiz lima hingga tujuh inci.


“Kebanyakan pelanggan membeli udang kara air tawar bersaiz tiga inci berikutan proses pembesarannya cepat iaitu seinci dalam tempoh sebulan,” katanya.


Beliau berkata, walaupun mempunyai dua lokasi penternakan udang kara air tawar iaitu di Putra Perdana dan Pontian, Johor yang mempunyai lebih 20,000 udang air tawar pelbagai saiz, ia masih tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan.


“Melihat kepada potensi perniagaan ini, saya tidak mampu memenuhi permintaan tersebut kerana mendapat permintaan dari pasaran tempatan dan Korea. Saya mengambil inisiatif mengadakan kursus penternakan udang kara air tawar untuk 30 orang pada setiap sesi selama empat jam dengan bayaran RM100. Mereka akan mempelajari secara teori dan praktikal mengenai penternakan udang kara air tawar dengan terperinci.


“Setakat ini, saya menerima ramai peserta kursus yang kebanyakannya merupakan golongan profesional. Mereka mahu menceburi penternakan udang kara kerana ia mudah dan kosnya berpatutan iaitu RM200 yang mana kadar kematiannya adalah rendah berbanding spesies lain. Mereka mahu menjadikannya sebagai hobi, malah ada yang mampu menjana pendapatan sampingan,” katanya.


Katanya, penternakan tersebut tidak memerlukan ruang yang besar dan boleh diternak di rumah sahaja.


“Azola dan pelet amat sesuai sebagai makanan udang kara yang boleh dibeli di kedai akuarium. Makanan pelet ikan tilapia boleh juga digunakan sebagai makanan udang ini asalkan pelet itu boleh tenggelam di dalam dasar air.


“Menariknya, penternakan ini mampu memberikan pulangan yang cepat berikutan proses pembiakan berlaku apabila undang kara mencapai saiz antara tiga hingga empat inci. Telur udang akan menetas dalam tempoh 40 hari selepas disenyawakan. Setiap induk betina mampu bertelur antara 200 hingga 1,000 ekor anak setiap kali bertelur. Induk mampu bertelur tiga kali setahun. Ia amat mudah dipelihara dan dikendalikan oleh setiap golongan,” katanya.


Katanya, harga yang ditawarkan ialah ialah RM90 sekilogram berbanding di luar harganya RM120 sekilo. Malahan, isi udang kara air tawar ini yang berukuran dalam 7 inci lebih padat dan dimasak berlada, masak lemak cili api atau goreng kunyit.


“Saya juga merancang untuk mempunyai lokasi lain untuk jadikan pusat sehenti aktiviti menternak dan memancing udang serta trak makanan yang menjual masakan berasaskan udang kara,” katanya.

 


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]