Premis perniagaan diroboh

in Edisi Pahang by


KUANTAN – Sebuah premis perniagaan dirobohkan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) selepas lima tahun menerima bantahan penduduk kerana beroperasi tidak mengikut peraturan ditetapkan pihak berkuasa, di Jalan Bukit Ubi, hari ini.


Ketua Seksyen Perhubungan Awam MPK, Izad Zainal Muhammad Safian berkata, premis terbabit sudah beroperasi sejak 2002 menggunakan permit dan lesen bangunan perniagaan sementara selepas didapati mengganggu lalu lintas dan menghalang laluan kediaman penduduk setempat.


Menurutnya, pihaknya menerima empat isu daripada pengadu berkaitan premis perniagaan terbabit  iaitu menghalang laluan perumahan penduduk, menganggu ketenteraman, kebersihan dan kesihatan.


“Aduan pertama yang kami terima pada 2013 dan pihak kami sudah mengeluarkan kompaun terhadap pemilik premis ini namun ia tetap beroperasi seperti biasa.


“Pihak kita, kemudian mengambil tindakan menamatkan lesen dan permit perniagaan  premis itu pada Januari lalu,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui media di lokasi premis perniagaan berkenaan, hari ini.


Tinjauan wartawan pada jam 9 pagi mendapati pemilik premis memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dengan mengeluarkan barangan perniagaannya sebelun operasi meroboh bermula jam 9.45 pagi.


Operasi dijangka dihentikan pada jam 12 tengah hari sebelum disambung pada esok.


Dalam pada itu, Izad Zainal berkata, pihaknya turut mengeluarkan notis pemberitahuan pada 22 Mei lalu meminta pemilik premis merobohkan premis perniagaannya sebelum tiada sebarang tindakan diambil.


Katanya, justeru pihaknya terpaksa mengambil tindakan merobohkan premis perniagaan itu hari ini selepas notis pemberitahuan untuk meroboh dikeluarkan.


“Bahagian Perancangan bersama Bahagian Penguakuasaan dan Kejuruteraan mengetuai operasi merobohkan premis ini dibantu kakitangan Tenaga Nasional Berhad dan Pengurusan Air Pahang Behad (Paip).


“Anggota polis turut berada di lokasi itu sekiranya timbul sebarang perkara yang tidak diingini,” katanya.


Selain itu, Izad Zainal turut memaklumkan, hasil semakan mendapati tanah itu kepunyaan pemilik premis namun ia adalah tanah kediaman dan bukannya tanah untuk pembangunan perniagaan.




 


Source: SH Edisi Pahang

[featured-video-plus]