PRK Sungai Kandis: Amirudin belum kenal pasti calon

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memaklumkan bahawa pihaknya masih belum mengenal pasti mana-mana calon untuk bertanding PRK kawasan Dun Sungai Kandis susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei, Isnin lalu.


Amirudin berkata, pihaknya perlu menghantar laporan kepada kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (Harapan) terlebih dahulu sebelum menetapkan calon yang akan bertanding bagi kerusi berkenaan.


“Calon belum kenalpasti. Saya perlu buat laporan kepada kepimpinan tertinggi terlebih dahulu,” jawabnya ringkas selepas membuat lawatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.


Shuhaimi meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Isnin lalu sekitar jam 11.10 pagi akibat kanser limforma pada usia 50 tahun.


Dalam pada itu, Amirudin berkata, pihaknya juga hanya akan mengeluarkan kenyataan mengenai PRK Dun Sungai Kandis setelah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengumuman mengenai kekosongan kerusi tersebut.


Katanya, buat masa ini setiap pihak perlu bersiap-sedia menghadapi PRK susulan kekosongan kerusi itu.


“Walaupun kita masih bersedih susulan kehilangan Allahyarham, namun setiap pihak perlu bersiap-sedia menghadapi PRK selepas ini,” katanya.


Mengulas mengenai lawatannya ke IPK Selangor, Amirudin berkata, beliau hadir untuk mendengar taklimat rasmi mengenai keadaan keselamatan di Selangor.


Menerusi lawatan itu, Amirudin berkata terdapat beberapa perkara boleh diperhalusi selepas ini antaranya ialah melibatkan aplikasi Smart State untuk tujuan keselamatan, jalinan kepimpinan kerajaan negeri bagi membantu polis dalam mengawal jenayah dan kemudahan penempatan logistik.


“Ini adalah tiga perkara yang saya percaya berpotensi dan akan diperhalusi selepas pertemuan ini,” katanya.

 


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]