Tingkatkan kemudahan sukan di Kelantan

in Edisi by


KOTA BHARU – Prasarana sukan di Kelantan perlu dipertingkatkan bagi memastikan matlamat kerajaan melahirkan lebih ramai atlet cemerlang khususnya dari negeri itu dilaksanakan, pada masa akan datang.


Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Kelantan, Mod Nadzri Yaakob mengakui kemudahan sukan di negeri itu sedikit ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.  


Beliau berharap Menteri Belia dan Sukan baharu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dapat memberi perhatian terhadap usaha membangunkan infrastruktur sukan di Kelantan.


“Contohnya di negeri lain, setiap daerah ada kompleks sukan komuniti tetapi di Kelantan nampaknya belum ada. Jadi, mungkin perkara ini perlu diberi perhatian pihak kementerian.


“Kita juga berharap menteri baru dapat melihat aktiviti-aktiviti pembangunan sukan di negeri ini secara menyeluruh,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri jabatan berkenaan di Kompleks Belia Sukan Kelantan, Kota Bharu, hari ini.


Beliau berkata, Kelantan juga berupaya melahirkan lebih ramai atlet sukan dan ia dibuktikan menerusi penganjuran Liga Sukan Untuk Semua (Lisus), baru-baru ini.


“Kita dapati ramai peserta mempunyai bakat tersendiri cuma seperti saya beritahu kemudahan sukan kurang cukup dan kita ketinggalan dalam aspek ini,” katanya.


Dalam masa sama, beliau turut berharap pihak kementerian memberi tumpuan terhadap usaha memajukan pembangunan belia di negeri itu.


“Kalau bercakap soal kemudahan sukan, kita tak boleh tinggalkan pembangunan belia. Anak-anak muda juga perlukan satu tempat untuk mereka berkumpul, bertukar-tukar fikiran selain melakukan aktiviti rekreasi.


“Di Kelantan kita ada MBK (Majlis Belia Kelantan), MBJ (Majlis Belia Jajahan) yang menjadi rakan kongsi paling rapat JBS. Jadi dengan kerjasama erat ini sudah tentu kita mahu ia memberi hasil kepada pembangunan belia,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]