Tukar institusi sahaja tidak cukup

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Bersih 2.0 menyifatkan tindakan meletakkan lima agensi Jabatan Perdana Menteri (JPM) di bawah Parlimen adalah langkah penting ke arah reformasi institusi.


Jawatankuasa Pemandunya dalam satu kenyataan  berkata, tindakan itu dapat memastikan lima agensi tersebut benar-benar bebas dan terus kepada Parlimen.


Bagaimanapun katanya, sekadar menukar tempat institusi-institusi ini adalah tidak mencukupi.


“Bagi memastikan reformasi besar-besaran berakar umbi dan diinstitusikan, undang-undang yang membolehkan institusi-institusi ini berfungsi perlu dipinda untuk menggambarkan perubahan tersebut sekurang-kurangnya dengan cara berikut.


“Undang-undang yang membenarkan institusi-institusi ini perlu mempunyai peruntukan yang jelas bahawa mereka akan melaporkan secara terus kepada Parlimen tanpa perlu melalui JPM untuk permohonan atau pengesahan.


“Sehingga kini, tidak ada sebarang peruntukan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 atau Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1954 yang menyatakan kayu ukur akauntabiliti bagi dua institusi ini,” katanya dalam kenyataan.


Sebelum ini Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa meluluskan pemansuhan 10 jabatan dan agensi di bawah JPM.


Ini termasuklah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Jabatan Pendakwa Raya dan Jabatan Audit Negara.


[ARTIKEL BERKAITAN: Rombak JPM: Johor sambut baik langkah kerajaan]


[ARTIKEL BERKAITAN: Ideas sokong penstrukturan semula JPM]


Menurutnya, laporan institusi-institusi ini perlu dibahas dan disahkan, dan bukan sekadar dibentangkan kepada Parlimen, seperti mana kes Suhakam.


Bersih 2.0 berkata lagi, pindaan undang-undang juga perlu memastikan bajet bagi institusi-institusi ini berada di bawah bajet Parlimen dan bukan di bawah JPM.


“Kebebasan fiskal institusi-institusi ini daripada cabang eksekutif adalah penting untuk memastikan permasalahan berkaitan dorongan politik seperti bajet Suhakam dipotong separuh oleh cabang eksekutif di bawah BN dapat dicegah pada masa akan datang.


“Proses pelantikan ahli-ahli institusi perlu dirombak untuk menggalakkan proses yang telus, bertanggungjawab dan penyertaan awam serta bukan sekadar cabang eksekutif, sekali gus akan memastikan calon terbaik dipilih untuk posisi tersebut,” katanya.


Menurutnya lagi, institusi-institusi bebas ini perlu diberi kuasa untuk merekrut, menggantung atau memecat kakitangan.


“Sekiranya perubahan-perubahan ini tidak diinstitusikan mengikut undang-undang, penempatan institusi-institusi tersebut di bawah Parlimen berdasarkan arahan pentadbiran boleh dibatalkan pada bila-bila masa,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]