Wanita OKU mangsa langgar lari maut

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Seorang pejalan kaki maut dipercayai menjadi mangsa langgar lari di Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini, malam tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam itu, mangsa, Norfarhana Azaha, 32, yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) meninggal dunia di lokasi kejadian.


Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, kejadian berlaku apabila mangsa dipercayai melintas jalan dari kanan ke seberang kiri jalan.


“Namun semasa sedang melintas, mangsa dipercayai dilanggar oleh sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti kerana semasa kejadian, tiada orang lain di lokasi.


“Akibat kejadian, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dibawa ke bilik mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Jelas Idris, penunggang atau pemandu kenderaan yang terlibat dalam kejadian kini sedang dikesan serta berharap individu terlibat dapat tampil bagi membantu siasatan.


Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]