Ahmad Zakiyuddin dimasukkan ke ICU

in Edisi Utara by


GEORGETOWN – Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang selepas mengadu sakit dada pagi tadi.


Pembantu peribadinya, Muhasdey Muhammad berkata, beliau mengadu sakit dada ketika dalam perjalanan ke Majlis Sambutan Hari Raya di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Kepala Batas kira-kira jam 11.45 pagi.


Menurutnya, keadaan Ahmad Zakiyuddin kini dilaporkan stabil namun masih di bawah pemantauan rapi.


“Pagi tadi, kira-kira 9.30 pagi, beliau hadir ke jamuan guru besar seluruh Pulau Pinang di sebuah hotel dan kemudiannya ke majlis dianjurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kira-kira jam 11 pagi. Pada waktu itu, beliau sihat.


“Dalam perjalanan ke majlis sambutan hari raya ke ILP Kepala Batas, beliau mengadu sakit dada namun masih mahu terus ke majlis yang diadakan pada jam 12 tengah hari itu. Bagaimanapun, beliau hanya sempat hadir lima minit sahaja dan terus meminta pemandu membawanya ke hospital swasta di Seberang Jaya,” katanya ketika dihubungi tadi.


Tambahnya, ketika di hospital swasta terbabit, doktor menjalankan pemeriksaan lanjut sebelum merujuk Ahmad Zakiyuddin ke ICU HPP.


“Pada mulanya beliau dimasukkan ke ICU hospital swasta namun dirujuk ke ICU HPP untuk ujian angiografi bagi memeriksa saluran injap pada jantungnya sama ada tersumbat atau sebaliknya. Ikut kepada laporan tadi, beliau diserang ‘minor heart attack’.


“Keadaannya stabil dan sedar malah beliau boleh bercakap. Cuma doktor mahu dia banyakkan berehat. Kemungkinan beliau penat kerana jadual yang padat. Tambahan pula selepas PRU lalu, jadual beliau memang padat,” katanya.


Muhasdey berkata, Ahmad Zakiyuddin sebelum ini sihat dan tidak menghadapi sebarang penyakit serius.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]