Air percuma diberi bulan depan

in Edisi Johor by


ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor akan menunaikan janji memberikan air percuma 10 meter padu kepada golongan B40 bermula akhir bulan Ogos nanti.


Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Johor.


“Kita sudah memutuskan dalam mesyuarat Exco, sekali gus menepati janji 100 hari Pakatan Harapan.


“Lebih kurang 395,000 pemegang akaun layak untuk terima air percuma sebanyak 10 meter padu persegi dianggarkan bernilai RM10,” katanya selepas majlis sambutan Aidilfitri Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ), di sini, hari ini.


Osman berkata, perbelanjaan bagi menunaikan janji tersebut melibatkan kos kira-kira RM25 juta setahun.


“Setelah kita lihat dan teliti, nampaknya Kerajaan Johor ada kemampuan untuk membiayai.


“Maka, kita telah luluskan dan laksanakannya bulan depan nanti,” katanya.


Pada PRU14, Harapan Johor menawarkan 10 janji bagi 100 hari di mana salah satu daripadanya adalah 10 meter padu air percuma ke kediaman golongan B40.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]