'Cairkan aset Umno, bantu wakil rakyat'

in Edisi by


BATU KURAU – Aset Umno bernilai berbilion ringgit sewajarnya dicairkan kepimpinan tertinggi parti itu untuk disalurkan semula kepada wakil rakyat Umno demi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.


Bekas Adun Kubu Gajah, Ahmad Hasbullah Alias berkata, kepimpinan tertinggi Umno perlu memikirkan bebanan kewangan ditanggung kesemua wakil rakyat Umno, lebih-lebih lagi kerajaan negeri dan Pusat kini dikuasai kerajaan Harapan.


Menurutnya, meskipun terdapat beberapa akaun Umno dibekukan, Ahmad Hasbullah atau lebih dikenali Pak Lang yakin wang itu akan dikembalikan kepada parti memandangkan Umno tidak terlibat dengan sebarang skandal kes disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


“Sekiranya perkara itu tidak dilaksanakan, saya jangka lebih ramai wakil rakyat Umno keluar atau lompat parti meskipun saf kepimpinan tertinggi Umno baharu dipilih adalah di landasan betul.


“Kepimpinan tertinggi Umno perlu sedar, beban kewangan ditanggung wakil rakyat Umno untuk disalurkan kepada permasalahan rakyat amat berat dan dengan jumlah peruntukan tahunan wakil rakyat diluluskan kerajaan Harapan, memang tidak mencukupi.


“Justeru, saya berharap kepimpinan tertinggi Umno menyedari perkara ini bagi mengelakkan lebih ramai wakil rakyat Umno keluar parti kerana berasa tidak selamat,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.


Pak Lang berkata, berdasarkan pengalamannya sebagai wakil rakyat sebelum ini, beliau perlu membelanjakan hampir RM50,000 sebulan semata-mata untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat.


Menurutnya, pendekatan wakil rakyat luar bandar dan kawasan bandar pastinya berbeza apabila wakil rakyat luar bandar lebih didekati rakyat yang sentiasa memerlukan pertolongan mereka.


“Sekiranya wakil rakyat bertaraf Adun pun perlu belanja sampai RM50,000 sebulan, saya percaya wakil rakyat bertaraf Ahli Parlimen memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya RM100,000 sebulan.


“Sebenarnya perkara ini harus diberi perhatian kerana saya percaya kebanyakan wakil rakyat Umno keluar parti bukan tidak sayang parti, tetapi terpaksa buat keputusan drastik itu demi kelangsungan rakyat kawasan mereka,” katanya.


Pak Lang turut yakin lebih ramai wakil rakyat Umno akan terus lompat parti dalam masa terdekat dan faktor itu bukan disebabkan tujuan protes pemilihan saf kepimpinan Umno baharu.


“Selain itu, rakyat juga tidak wajar menghakimi tindakan wakil rakyat terbabit dengan dakwaan ada kepentingan peribadi.


“Sekiranya mereka sudah lompat parti dan masih tidak memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, barulah mereka layak dihukum sebagai ‘pengkhianat’ dan mempunyai agenda peribadi,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]