Ilmu kepenggunaan elak orang ramai tertipu

in Nasional by


SHAH ALAM – Kerajaan perlu memberi penekanan terhadap pendidikan kepenggunaan kepada orang ramai dalam usaha memperkasakan pengguna agar menjadi lebih bijak dalam melindungi hak-hak mereka.


Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kuasa pengguna memainkan peranan utama bagi memastikan mereka tidak terpengaruh dengan manipulasi harga dimainkan di pasaran.


Katanya, pengguna hari ini banyak tertipu ketika berurusan dengan peniaga atau penyedia perkhidmatan dalam kehidupan seharian.


“Dengan memperkasakan pendidikan kepenggunaan, katakan jika pengguna bijak, apa yang hendak dilakukan peniaga pun tiada kesannya. Contohnya macam di Jepun, tidak perlu kawal harga pun.


Kerajaan kena wujudkan kaedah bagaimana pengguna boleh dididik supaya pengguna pandai melindungi diri mereka. Hari ini, pengguna bukan lagi pengguna, sebaliknya dipergunakan.


Jadi kita perlu lihat dari satu sudut yang baharu. Pengguna kena bijak dan produktif. Pengguna pun berdosa juga dalam banyak isu walaupun banyak kena tipu sebab dia pun tidak melindungi dirinya. Tak kan hendak harapkan orang saja, mana hendak jadi.


Selepas sebulan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sifar, aduan pasal harga tidak banyak diterima. Ia merupakan manifestasi kejahilan pengguna. Tidak sedar enam peratus banyak mana turun.


Kita melalui beberapa pengalaman, contohnya, musim raya antara benda yang mesti ada adalah cili dan kacang panjang. Kalau tak ada ini, tak jadi raya sebab mereka hendak buat lodeh dan soto yang mesti ada dua benda ini. Kacang panjang yang biasanya katakan berharga RM2 bila naik jadi RM3, orang beli juga. Bila naik RM10 pun orang tetap beli.


Kelemahan pengguna ini susah hendak diajar dan kita sebenarnya menghadapi masalah bagaimana hendak mendidik pengguna menjadi bijak.


Mereka hanya duduk di takuk itu sahaja, sedangkan negara hendak maju ke depan. Kalau kita tengok negara maju seperti Eropah, barang naik tidak usah beli. Namun, kita ini harga naik beli juga. Jadi buat apa peniaga hendak turunkan harga? Tiada sebab kerana ini bukan barang kawalan. Pengguna kurang bijak.


Kalau kita ke Chow Kit, 90 peratus barangan di sana adalah import. Sampai bila kita hendak berterusan begini? Kita kena ada jati diri pengguna sendiri dan jangan berharap pada kerajaan sangat, sedangkan benda lain kira tidak buat. Cari kaedah untuk perkasakan ekonomi, tetapi pengguna perlu bersama.


Pengguna pun perlu dipersalahkan kerana ada tanah berekar, tetapi cili pun kena beli, sedangkan boleh ditanam di pasu. Ini perlu diubah supaya kita boleh jadi lebih produktif dan tidak risau sangat apabila harga naik. Kita risau sebab pendapatan tak naik, jadi inilah cara untuk mendidik kita.


Dalam masa sama, kerajaan kena ada ‘listening pool’ sendiri dan dengar aduan serta maklum balas diterima daripada rakyat.


Selain itu, pemberian subsidi juga perlu disasarkan kepada golongan tertentu. Tidak rasional ia diberikan kepada semua orang. Kenapa yang tidak minta (subsidi) pun dapat juga, seolah-olah dipaksa terima.


Kenapa tidak diberi pada mereka yang meminta dan benar-benar memerlukan? Kita hidup dengan perbuatan yang tidak masuk akal.


Kita harap subsidi ini disasarkan sebab tidak mahu orang ambil kesempatan. Kerajaan perlu lihat semula perkara ini dan ubahlah sistemnya,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]