Johor tiada masalah lantik ahli majlis wanita

in Edisi Johor by


ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor tidak mempunyai masalah untuk menjayakan cadangan melantik  30 peratus ahli majlis dalam kalangan wanita di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.


Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi, Tan Hong Pin berkata, adalah menjadi dasar Pakatan Harapan terutamanya DAP yang memperjuangkan perkara itu selama ini.


“Dalam perlembagaan parti DAP sendiri ada klausa mengatakan bahawa 30 peratus daripada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) perlu dirizab kepada kaum wanita.


“Ia bukan satu masalah cuma dari segi pelaksanaannya mungkin ada kekangan tetapi kami akan cuba sedaya upaya untuk memenuhi sasaran ini,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi penerangan Sustainable Development Goals (SDG) anjuran pejabatnya dan UN-Habitat di Kota Iskandar, di sini, semalam.


Hadir sama, Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Datuk Maimunah Mohd Sharif.


Hong Pin berkata, kebanyakan PBT  di negeri ini dilihat sudah menyenaraikan nama ahli majlis yang turut mempunyai wakil wanita.


“Cuma peratusan itu belum sampai 30. Kami akan berusaha ke arah itu. Perkara ini tak jadi masalah,” katanya.


Terdahulu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dilaporkan telah mewajibkan PBT melantik lebih kurang 30 peratus ahli majlis dalam kalangan wanita.


Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, sekurang-kurangnya tujuh wakil wanita dilantik bagi menganggotai barisan itu.


Katanya, setiap  PBT  akan diberikan gred mengikut bintang sebagai usaha memartabatkan wanita.

 


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]