Majikan perlu lebih proaktif lindungi keselamatan pekerja

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan  Pekerjaan Negara (Niosh) Tan Sri Lee Lam Thye berkata majikan perlu lebih proaktif dan komited dalam membantu mencegah kemalangan melibatkan pekerja.


Menurut beliau, ini kerana pekerja adalah aset penting dalam organisasi mereka.


Beliau berkata, sehubungan itu, majikan perlu menganjurkan kempen kesedaran dan program keselamatan jalan raya, termasuk pemanduan berhemah dan kaedah menunggang motosikal secara selamat dengan bantuan tenaga pengajar dan pakar.


“Majikan patut menjemput pakar keselamatan jalan raya untuk berkongsi pengetahuan mereka dan membuat demonstrasi tentang pemanduan berhemah serta kaedah menunggang motosikal bagi membantu pekerja mengelak daripada terlibat dengan kemalangan.


“Mereka juga boleh mendidik pekerja tentang undang-undang berkenaan dan cara menyenggara kenderaan  supaya kenderaan masing-masing sentiasa berada dalam keadaan selamat untuk digunakan di jalan raya. Kelemahan dari segi penyenggaraan boleh menimbulkan masalah mekanikal dan enjin, yang seterusnya menyebabkan kemalangan,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.


Lam Thye berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran tentang klausa keselamatan semasa perjalanan dalam dasar keselamatan pekerja di tempat kerja pada Selasa.


Katanya, semua  majikan wajar menyahut seruan menteri itu, manakala fokus perlu diberi  terhadap penunggang dan pembonceng motosikal kerana kajian bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Universiti Teknologi Mara menunjukkan kumpulan itu mewakili 76.9 peratus daripada jumlah mereka yang terlibat  dengan kemalangan semasa dalam perjalanan.


Beliau berkata, ia juga kerana 52 peratus kemalangan berlaku ketika pekerja membuat perjalanan untuk ke tempat kerja dan lebih 55 peratus kemalangan berlaku semasa pekerja berada  dalam lingkungan 5km dari tempat kerja masing-masing.


Sementara itu, menurut Perkeso, sebanyak 33,319 kes kemalangan jalan raya direkodkan tahun lepas, yang melibatkan 667 kematian. Pertubuhan itu juga mendapati bahawa secara purata, dua kematian berlaku setiap  hari akibat kemalangan jalan raya.


“Mengubah tingkah laku juga perlu dan antara perangai buruk ialah memandu melebihi had laju yang dibenarkan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak  memakai topi keledar dengan betul dan memandu secara melulu,” kata Perkeso.


Lam Thye berkata, setiap tahun, Niosh, dengan kerjasama Perkeso, menganjurkan Program Menunggang Motosikal Secara Selamat dan Pemanduan Berhemah, yang disertai kira-kira 5,000 dalam tempoh lima tahun lepas. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]