Mohd Shahar dilantik Ketua Penerangan Pemuda Umno

in Politik by


KUALA LUMPUR – Pemuda Umno melantik empat Pegawai Tertinggi Jawatankuasa yang baharu dalam usaha memastikan parti itu mampu bangkit dan terus relevan dalam pentas politik negara.


Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan memaklumkan melantik Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah sebagai Ketua Penerangan, Ahmad Zaim Ahmad Tawfek (Setiausaha Kerja), Johari Yazid (Penolong Setiausaha) dan Khairul Firdaus Akbar Khan sebagai Penolong Bendahari.


Menurutnya, Agenda 5P (Pengkaderan, Pentarbiyahan, Pembudayaan Ilmu, Pemerkasaan Rohani, Pemantapan Jati Diri) yang ditekankan dalam manifestonya akan menjadi keutamaan dalam transformasi Pemuda Umno.


“Pemilihan pada 23 Jun yang lalu menzahirkan betapa tingginya harapan akar umbi untuk melihat perubahan dalam struktur kepimpinan parti khususnya sayap Pemuda.


“Sesungguhnya dinamik pemilihan kali ini telah menyaksikan ramai muka baru di kalangan anak muda daripada pelbagai lapisan termasuk golongan profesional, bekas pimpinan mahasiswa dari dalam dan luar negara, agamawan dan usahawan muda.


“Pemuda Umno untuk penggal ini komited untuk melakukan transformasi dan juga pembaharuan demi mengembalikan kekuatan Umno sebagai parti tunjang untuk orang Melayu dan Islam,” menurut kenyataan itu.


Tambahnya, pelantikan itu dibuat selaras dengan peruntukan Fasal 5.5 Perlembagaan parti dan memaklumkan beliau turut membuka ruang seluasnya buat semua ahli parti bagi lantikan Exco atau Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda Umno Malaysia yang baharu.


“Bagi lantikan Exco atau Ahli-ahli Jawatankuasa Pemuda Umno yang diperuntukkan oleh Perlembagaan, saya ingin membuka seluas-luasnya ruang kepada semua ahli berdaftar untuk turut serta menawarkan diri dengan menghantar resume kepada email nurulizza3007@gmail.com,” ujarnya.


Asyraf Wajdi mengambil alih kepimpinan Pemuda Umno selepas beliau menang dalam pemilihan parti baru-baru ini menewaskan lawannya, Senator Khairul Azwan Harun atau lebih dikenali sebagai Azwan Bro.


Kemenangannya menarik perhatian masyarakat dan ahli Umno sendiri yang mengharapkan beliau mampu membawa perubahan total kepada parti itu dan bermula dari Pemuda terlebih dahulu.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]