Noor Azmi nafi akaun bank dibekukan

in Edisi by


PARIT BUNTAR – Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menafikan dakwaan akaun bank peribadi dan akaun rasmi Ahli Parlimennya dibekukan pasukan petugas khas siasatan 1MDB sebagaimana tular dalam media sosial baru-baru ini.


Menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas, Noor Azmi yang kini merupakan Ahli Parlimen bebas setelah keluar Umno pada 24 Jun lalu menegaskan kesemua akaun banknya aktif seperti biasa hingga kini.


Menurutnya, dakwaan ditularkan menerusi media sosial sejak minggu lalu adalah merupakan berita palsu bertujuan untuk menjejaskan reputasinya.


“Mungkin disebabkan saya umum keluar dari parti Umno, jadi keputusan saya itu dikaitkan dengan kemungkinan akaun saya dibekukan disebabkan terbabit siasatan kes disiasat pihak berkuasa.


“Ingin ditegaskan keputusan saya keluar parti adalah atas alasan peribadi dan bukan disebabkan takut saya terlibat dengan sebarang kes salah laku disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM),”katanya pada sidang media di sini hari ini.


Sementara itu, Noor Azmi masih belum memutuskan untuk menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (Harapan) dan akan terus kekal sebagai ahli parlimen bebas ketika ini.


Menurutnya, pihaknya turut mendedahkan belum berjumpa dengan mana-mana pemimpin atasan Harapan bagi membincangkan hajat menyertai parti lain dalam pakatan politik menyokong kerajaan itu.


“Ingin saya tegaskan saya keluar parti dari Umno bukan sebab kepentingan peribadi, dijanjikan sebarang jawatan dan harta benda.


” Namun, keputusan saya dibuat atas rasa kekecewaan terus dipinggirkan kepimpinan Umno bahagian sejak lima tahun lalu sehingga saya merasakan seperti berkhidmat sebagai ahli parlimen bebas sebelum ini.


“Apapun keputusan dibuat, saya lebih memikirkan masa hadapan rakyat Bagan Serai dan saya yakin keputusan dibuat akan menguntungkan mereka memandangkan kemenangan saya pada PRU14 atas pilihan rakyat,”katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]