Pengumpul sarang burung bantu operasi menyelamat

in Global by


MAI SAE – THAILAND. Sekumpulan pengumpul sarang burung dari selatan Thailand menggunakan kepakaran memanjat mereka bagi mencari bukaan gua yang boleh dimasuki pasukan penyelamat untuk sampai kepada kesemua 13 mangsa yang terperangkap.


Mereka terdiri daripada lapan lelaki Muslim Thai berusia antara 20-an ke 50-an dari Pulau Libong di wilayah Trang, menjadikan sarang burung sebagai mata pencarian, kerja harian mereka termasuklah memanjat tebing curam dan meneroka gua.


“Seorang ahli kami menyaksikan misi menyelamat menerusi televisyen dan berfikir bagaimana kami dapat membantu?,” kata ketua kumpulan terbabit, Abdulrawheep Khunraksa.


“Kami terfikir untuk menggunakan kemahiran kami bagi membantu operasi,” kata lelaki berusia 49 tahun tersebut.


Dengan hanya berbekalkan tali, sarung tangan dan ilmu selok belok memanjat gunung, beberapa ahli kumpulan pengumpul sarang burung berkenaan memulakan pendakian curam bagi mencari jalan alternatif memasuki gua Tham Laung.


12 remaja berusia antara 11 ke 16 tahun yang juga pemain bola sepak Thailand dan jurulatih mereka, berusia 25 tahun terperangkap di dalam gua berkenaan sejak 23 Jun lalu akibat paras air yang naik mendadak susulan hujan lebat berterusan.


Mereka ditemui selepas sembilan hari terperangkap dan kini operasi menyelamat bertumpu kepada membawa keluar kesemua mangsa dengan selamat.


Tekanan semakin memuncak berikutan amaran hujan lebat dan ribut yang dijangka melanda kawasan terbabit minggu ini dan pihak berkuasa mengambil keputusan mengajar kesemua mangsa bagaimana untuk menyelam sekiranya gagal mencari jalan keluar yang lain. – AFP



 


 


Source: SH Global

[featured-video-plus]